Ronaldo idola saya -- Jovic

Oleh Staff Writer 13 Jun 2019 1964
Ronaldo idola saya -- Jovic
Luka Jovic pernah tidur dengan jersi Real Madrid sambil berkata Cristiano Ronaldo merupakan idolanya.

Jovic menyertai Los Blancos dengan kontrak selama enam tahun dengan yuran perpindahan €60 juta (RM316.6 juta) daripada Eintracht Frankfurt. 

Penyerang kebangsaan Serbia itu merupakan sebahagian daripada pelan pembaharuan seperti yang dicanang ketua jurulatih Madrid, Zinedine Zidane.

Eden Hazard, Eder Militao dan Rodrygo Goes turut menyertai Madrid baru-baru lalu selepas kelab itu menamatkan musim 2018-19 dengan penuh mengecewakan.

Bagaimanapun, Jovic mendedahkan Ronaldo -- yang meninggalkan Madrid untuk menyertai Juventus tahun lalu -- merupakan idolanya.

"Ronaldo, sudah pastinya bagi seorang kanak-kanak," katanya ketika ditanya tentang pemain Madrid kegemarannya selama ini.

"Ketika ini, saya tidak mahu memilih mana-mana pemain kerana kami adalah rakan sepasukan.

"Saya sedar musim lalu bukanlah musim terbaik buat Real Madrid, namun harap-harap tahun depan akan menjadi lebih baik.

"Harga yang diletakkan tidak mendatangkan lebih tekanan buat saya kerana saya tidak memikirkannya.

"Saya hanya fokus terhadap apa yang perlu dilakukan di atas padang.

"Saya belum berpeluang untuk bercakap dengan mana-mana pemain Madrid lagi.

"Saya mahu bercakap dengan Luka Modric dan berharap dapat melakukannya dalam beberapa hari lagi," katanya.

Jovic turut mengesahkan pendedahan Presiden, Florentino Perez, bahawa dia pernah tidur dengan seragam Madrid ketika kanak-kanak.

"Ya, ia benar, jersi itu dihadiahkan oleh kawan keluarga saya.

"Saya peminat Madrid seperti kanak-kanak lain," tambahnya.

Dengan seorang lagi pemain baru, Eden Hazard, akan diperkenalkan awal pagi esok, Jovic menambah: "Dia pemain yang hebat, salah seorang pemain terbaik dunia dan saya amat bertuah untuk berkongsi bilik persalinan dengannya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen