Ronaldo tidak boleh harungi 75 perlawanan setahun -- Sarri

Oleh Staff Writer 17 Februari 2020 3511
Ronaldo tidak boleh harungi 75 perlawanan setahun -- Sarri
Maurizio Sarri menjelaskan keputusannya untuk merehatkan Cristiano Ronaldo dalam kemenangan 2-0 Juventus ke atas Brescia adalah kerana pemain berusia 35 tahun itu tidak boleh beraksi 75 perlawanan dalam tempoh setahun.

Selepas menjaringkan 10 gol dalam enam penampilan Serie A sebelum ini untuk merakamkan 20 jaringan musim ini, Ronaldo disisihkan namun Paulo Dybala dan Juan Cuadrado muncul selaku penjaring dalam aksi awal pagi tadi itu.

Pengurus itu juga kehilangan kuartet tercedera yang terdiri daripada Douglas Costa, Federico Bernardeschi, Sami Khedira, dan Merih Demiral, tetapi Giorgio Chiellini membuat penampilan pertamanya sejak Ogos lalu apabila diperkenalkan dalam babak kedua.

Pengurus Juve, Sarri berasakan bintang Portugal itu perlu berehat ekoran beban kerja yang ditanggungnya bersama kelab dan negara.
 
Sarri berkata: "Ia sukar, kami mempunyai ramai pemain yang hebat dan akan ada yang terpinggir.

"Mereka semua adalah pemain yang luar biasa, tanpa memiliki peranan tertentu. Kami mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki.

"Ronaldo merupakan penyerang tengah yang tidak hanya menetap di posisi itu. Hari ini Cristiano terpaksa berehat. Dia tidak boleh terlibat dalam 75 perlawanan setahun bersama pasukan kebangsaan dan kelab, jadi kami memutuskan untuk memberinya ruang untuk menjalani proses pemulihan."

Mengenai Chiellini pula, tambahnya: "Dia meletakkan dirinya bersama pasukan. Dia telah mengatakannya sejak semalam lagi. Pengorbanannya selama enam bulan adalah hebat."

Bekas pengendali Chelsea itu mengakui prestasi pasukannya ketika menentang Brescia meninggalkannya banyak ruang untuk diperbaiki setelah melihat juara Serie A berkenaan hanya menang dua kali dalam lima perlawanan.

Sebelum sepak mula dengan Brescia awal pagi tadi, kelab yang berpangkalan di Turin itu tumpas kepada Napoli dan Hellas Verona selain mencatat seri 1-1 dengan Milan dalam Coppa Italia. 

Mereka bakal berhitung dengan SPAL pada Ahad ini yang menyaksikan Ronaldo bakal mengharungi perlawanan ke-1,000 dalam kerjayanya.

"Kami masih boleh memperbaiki segala-galanya," kata Sarri.

"Pertahanan kami mempunyai ruang untuk penambahbaikan, begitu juga di bahagian serangan.

"Kami telah dibolosi sebanyak lima kali dalam dua perlawanan terakhir, jadi sedikit nasib akan membantu kami. 

"Kami perlu fokus kepada diri sendiri, bukannya melihat kepada kelab lain."

Editor: Shaiful Shamsudin
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen