Saad: Keperluan pemain harus jadi keutamaan

Oleh Staff Writer 13 Ogos 2019 747
Saad: Keperluan pemain harus jadi keutamaan
"Kelangsungan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tidak seharusnya bersandarkan kepada kepentingan individu tertentu tatkala keperluan pemain menjadi keutamaan."

Itu pandangan Saad Ichalalene yang kini memegang portfolio sebagai pengarah teknikal NFDP susulan penstrukturan semula program berkenaan bermula Oktober tahun lalu.

Perincian semula program akar umbi elit itu diambil selepas kegagalan skuad B-16 dalam Kejohanan AFC 2018 di laman sendiri yang merupakan pentas kelayakan ke Piala Dunia B-17 yang berlangsung di Brazil tahun ini.

"Sudah tentu sebelum ini ia dipantau oleh pelbagai badan. Kami memiliki Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan sebagainya selaku jurulatih dan pembimbing," katanya.

"Kami harus melihat semula apa langkah yang dilakukan 25 hingga 30 tahun lalu dan mula mengubahnya untuk perubahan besar yang seterusnya."

Sebagai pengarah teknikal, Saad memainkan peranan penting merencanakan falsafah identiti bola sepak Malaysia buat pemain di bawah program itu dengan bakat elit dikumpulkan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Dia melihat penanda aras kejayaan NFDP tidak sekadar pada kejayaan memenangi sesebuah kejohanan seperti skuad remaja yang memenangi Kejohanan AFF B-15 baru-baru ini tetapi kualiti pemain yang dilahirkan pada masa akan datang.

"Buat kami, objektif utama adalah membangunkan seramai pemain yang boleh. Sudah tentu kami memerlukan masa tetapi dalam masa sama melihat secara individu dan melihat sama ada mereka mampu menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi. Apa yang kami mahukan adalah mewujudkan pemain yang boleh berfikir dengan bagus di atas padang."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen