Santos tidak ragui tahap kecergasan Ronaldo

Oleh Staff Writer 15 November 2019 204
Santos tidak ragui tahap kecergasan Ronaldo
PORTUGAL 6 LITHUANIA 0

Tahap kecergasan Cristiano Ronaldo tidak pernah diragui jurulatih Portugal, Fernando Santos, selepas penyerang itu meledak hatrik ketika merakamkan kemenangan 6-0 ke atas Lithuania, awal pagi tadi.


Ronaldo merupakan pilihan terbaik bagi mengisi kesebelasan utama pasukan bagi aksi kelayakan Euro 2020 di Estadio Algarve itu selepas digantikan dalam dua aksi bersama Juventus.

Pengendali Juve, Maurizio Sarri, mengambil keputusan untuk mengeluarkan Ronaldo ketika berdepan Milan ekoran bengkak pada lutut tetapi pemain berusia 34 tahun itu beraksi selama 83 minit berdepan Lithuania dan tidak menunjukkan sebarang kepenatan.

Ditanya bagaimana Ronaldo berasakan apabila digantikan, Santos memberitahu RTP: "Dia berada dalam keadaan yang baik, saya tidak pernah meragui kemampuan Ronaldo, mungkin ada yang memikirkan sedemikian tetapi saya tidak."

Ronaldo membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ketujuh sebelum menggandakan jaringan 15 minit kemudian sebelum melengkapkan hatrik dalam separuh masa kedua.

Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes, memberikan pujian kepada rakan sepasukannya itu, yang kini telah menjaringkan 98 gol untuk juara bertahan Eropah itu.

"Apa yang kami memiliki adalah Ronaldo yang sentiasa bermotivasi tinggi, pemain yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik," kata Fernandes. "Dia menjaringkan gol tiga kali, sesuatu yang biasa baginya."

Pizzi, Goncalo Paciencia dan Bernardo Silva turut menemui sasaran bagi Portugal, yang bakal mengesahkan tempat kedua dalam Kumpulan B jika mengatasi Luxembourg dalam aksi kelayakan terakhir Ahad ini.

Santos berasakan pasukannya mampu menjaringkan lebih banyak gol dalam separuh masa pertama tetapi berpuas hati dengan kemenangan yang diraih selepas tewas 2-1 kepada Ukraine sebelum ini.

"Pemain-pemain mengikut perancangan yang ditetapkan. Kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama, terdapat kepelbagaian dalam corak permainan.

"Kami seharusnya menjaringkan lebih banyak gol tetapi selepas empat gol yang dihasilkan, kami sudah boleh mengurangkan rentak permainan dan bersedia menghadapi aksi berikutnya.

"Kami akan cuba menewaskan Luxembourg dengan cara yang sama tetapi kami hanya memiliki 72 jam untuk kembali ke tahap terbaik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen