Sarri: Juventus boleh meningkat selepas tewaskan Inter

Oleh Staff Writer 7 Oktober 2019
Sarri: Juventus boleh meningkat selepas tewaskan Inter
INTER MILAN 1 JUVENTUS 2

Maurizio Sarri sangat gembira melihat pemain Juventus menyesuaikan diri dengan corak permainannya tetapi menuntut peningkatan susulan kemenangan 2-1 ke atas Inter Milan, awal pagi tadi.


Juve meraih kemenangan kelima berturut-turut dan mencatat pencapaian terbesar di bawah kendalian Sarri selepas memenangi pertemuan Derby d'Italia untuk memusnahkan permulaan cemerlang Inter.

Lautaro Martinez menyamakan kedudukan daripada sepakan penalti di San Siro selepas Paulo Dybala -- membuktikan pemilihannya dalam kesebelasan utama sesuatu yang tepat -- memberikan pelawat pendahuluan pada minit keempat, namun Gonzalo Higuain yang masuk selaku pemain gantian mengesahkan kemenangan ketika permainan berbaki 10 minit.

Bagaimanapun, Sarri menolak kesan daripada kemenangan itu -- yang menyaksikan mereka memintas Inter di puncak liga -- dan berkata pemainnya masih mampu meningkatkan prestasi.

"Saya rasa kami masih boleh memperbaiki persembahan. Ia satu proses," katanya.

"Pasukan ini mempunyai aspek individu yang kuat. Ia bermaksud ketika ini, kami boleh mendapatkan keputusan baik walaupun tidak beraksi pada tahap 100 peratus.

"Mendahului carta liga ketika ini tidak memberi apa-apa makna. Elemen yang penting adalah kami beraksi dengan baik, penuh perwatakan dan keinginan menentang pasukan yang memenangi setiap perlawanan sebelum ini.

"Kami bermula baik dan meraih pendekatan yang tepat dalam persekitaran yang mencabar, jadi ia satu petanda baik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen