ICC: Sarri seru Juventus lekas sesuaikan diri dengan rentak Ronaldo  

Oleh Staff Writer 24 Julai 2019 1518
ICC: Sarri seru Juventus lekas sesuaikan diri dengan rentak Ronaldo  
Maurizio Sarri memberitahu skuad Juventus agar menyesuaikan diri dengan rentak Cristiano Ronaldo sambil memuji pemain itu yang boleh membuat perbezaan dalam perlawanan. 

Pemain Portugis itu meledak 28 gol dalam kempen sulungnya bersama Bianconeri susulan perpindahannya daripada Real Madrid apabila membimbing mereka meraih gelaran Serie A yang kelapan berturut-turut.

Dia yang tercicir dalam aksi pra-musim bersama Juve dalam musim pengenalannya, menebusnya dengan sentuhan klinikal ketika tunduk kepada finalis Liga Juara-Juara (UCL), Tottenham, 2-3 menjelang kempen musim 2019-2020. 

Bercakap sebelum pertemuan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 dengan kelab Itali, Inter, malam ini (8 malam waktu Malaysia), pengurus itu menjelaskan bahawa Ronaldo akan menjadi tumpuan utama pasukannya sempena kempen yang akan datang.

"Dia akan menjadi pemain yang akan membuat perbezaan buat kami dan 10 pemain yang lain harus menyesuaikan diri dengan corak permainannya," kata Sarri dalam sidang media.

"Dalam jelajah pra-musim ini, dia akan beroperasi sebagai penyerang di bahagian kiri walaupun jelas sekali dia lebih gemar di bahagian serangan tengah, iaitu berhampiran dengan rakan di bahagian serangannya.

"Sebagai satu pasukan, kami harus segera menyesuaikan diri dengan pergerakannya kerana dia mampu membuat perbezaan dan dia akan menyempurnakannya. Dalam perlawanan persahabatan pertama yang lalu, dia mencetak gol dan mencipta beberapa peluang lagi."

Kekalahan kepada Tottenham, Ahad lalu, juga menyaksikan Matthijs de Ligt membuat kemunculan pertama setelah ditandatangani daripada Ajax minggu lalu dengan bayaran awal sebanyak €75 juta (RM344.4j).

Sarri melabel pemain berusia 19 tahun itu sebagai "prospek yang luar biasa" tetapi itu bukanlah jaminan untuknya menempatkan diri dalam kesebelasan utama dengan serta-merta. 

"De Ligt merupakan prospek fenomena," kata Sarri. "Dia baru berusia 19 tahun dan menjadi kapten kepada sebuah kelab penting seperti Ajax, jadi dia adalah prospek penting.

"Saya tidak pasti sama ada dia akan kekal di bangku simpanan atau tidak. Jika tidak, kami akan ada pertahanan penting yang lain seperti Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini dan Daniele Rugani di bangku simpanan."






 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen