Saya denda Wilson kerana ledak gol di Old Trafford -- Giggs

Oleh Staff Writer 17 Oktober 2018 16995
Saya denda Wilson kerana ledak gol di Old Trafford -- Giggs
Pengurus Wales, Ryan Giggs, memuji Harry Wilson hasil gol menerusi sepakan percuma mengagumkan ketika berdepan Republik Ireland sambil bergurau dia mendenda pemain itu yang menjaringkan gol yang hampir sama ketika berdepan Manchester United sebelum ini.

Sepakan percuma Wilson menjadi pemisah di antara Wales dan Ireland di Dublin semalam, dengan Wales kini menghuni tangga teratas Kumpulan B4, Liga Negara-Negara dengan kemenangan 1-0.

Pemain sayap Liverpool itu -- yang dipinjamkan ke Derby County dalam Liga Kejuaraan -- menjaringkan sepakan percuma yang hampir sama ketika berdepan bekas kelab kendalian Giggs itu dalam saingan Piala EFL bulan lalu dan pengurus Wales itu gembira Wilson meneruskan persembahannya di pentas antarabangsa.

"Saya mendenda Wilson kerana menjaringkan gol sedemikian di Old Trafford beberapa minggu lalu, kali ini saya tidak melakukannya!" seloroh Giggs kepada Sky Sports.

"Dia melakukannya sepanjang masa dalam sesi latihan. Ia berkisar kepada berlatih, berlatih dan berlatih.

"Saya sangat berbangga mereka berusaha keras hingga ke akhir perlawanan. Ia satu persembahan dalam separuh masa kedua yang cemerlang.

"Keazaman pasukan menggembirakan saya untuk tidak membenarkan lawan sebarang jaringan. Kami menyasarkan untuk menjuarai kumpulan. Ia satu kumpulan yang sukar dan kini ia dalam jangkauan kami," tambahnya.

Wales sudah pun terjamin tempat dalam balang dua undian untuk kelayakan Euro 2020 dan kemenangan ke atas Denmark dalam perlawanan berikutnya akan mengesahkan kenaikan mereka ke tahap teratas Liga Negara-Negara.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen