Saya gembira di Itali -- De Ligt

Oleh Ammar Hakim 7 Jun 2020 59
Saya gembira di Itali -- De Ligt
Matthijs de Ligt menegaskan bahawa sebarang cadangan mengenai dirinya mahu meninggalkan Juventus adalah salah kerana pemain pertahanan itu menyatakan kebahagiaannya untuk terus kekal di Turin.

Pemain antarabangsa Belanda itu hanya berpindah ke Bianconeri Julai lalu, berhijrah dengan yuran perpindahan bernilai EURO75 juta setelah membintangi pasukan Ajax yang memenangi gelaran domestik dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim 2018-19.

Mendapatkan khidmat De Ligt dilihat sebagai kemenangan bagi Juve pada masa itu, namun pemain berusia 20 tahun itu berusaha keras untuk tampil konsisten dalam musim pertamanya.

Walaupun ada laporan bahawa dia mungkin mencari jalan keluar, dengan Barcelona dikhabarkan berminat, De Ligt menegaskan bahawa dia ingin tetap bersama juara Serie A itu.

"Mereka banyak membuat cerita mengenai saya: sebenarnya saya sangat gembira di Turin dan dapat berlatih setiap hari dengan pemain luar biasa," kata De Ligt kepada Tuttosport.

"Semangat saya di sini bertambah baik dari hari ke hari. Jadi, ya, saya sangat gembira.
"Ketika saya tiba di Juve, saya segera menyedari dimensi kelab yang berstatus antarabangsa. Semua pemain lain segera membuat saya berasa sebahagian daripada keluarga."

Juve ketinggalan satu mata dari Lazio dengan berbaki 12 perlawanan apabila musim Serie A ditangguhkan Mac lalu kerana wabak coronavirus.

Saingan tertinggi Itali dijangka kembali dengan perlawanan tanpa penyokong bulan ini, skuad kendalian Maurizio Sarri itu jelas sekali ingin menjulang gelaran kesembilan berturut-turut.

De Ligt memuji bekas ketua jurulatih Chelsea, mengakui gayanya mengingatkannya kepada sistem 'Total Football' yang dipopularkan oleh pasukan Belanda.

"Dia seorang ahli taktikal dengan idea bola sepak yang sangat spesifik," tambah De Ligt mengenai Sarri.

"Dia membawa cara Itali dengan gaya 'Total Football Belanda'. Saya melihat kami semakin meningkat dari hari ke hari."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen