Southgate risau maklumat perbalahan Sterling, Gomez didedahkan

Oleh Staff Writer 13 November 2019 481
Southgate risau maklumat perbalahan Sterling, Gomez didedahkan
Gareth Southgate risau dengan maklumat mengenai perbalahan melibatkan Raheem Sterling dan Joe Gomez yang didedahkan kepada media daripada kem England.

Pengurus England, Southgate, menggugurkan Sterling daripada pasukan kendaliannya itu menjelang aksi kelayakan Euro 2020 berdepan Montenegro esok selepas pergaduhan yang tercetus di antara bintang Manchester City itu dan pertahanan Liverpool, Gomez.

Sterling menegaskan perbincangan secara baik telah diadakan dalam kawasan rahsia di St George's Park untuk segera melupakan insiden itu dan kedua-dua pemain itu dilihat menjalani latihan semalam.

Maklumat terperinci mengenai insiden itu didedahkan kepada media sebelum England mengeluarkan kenyataan rasmi sambil kandungan perbincangan itu terus menjadi perhatian.

Southgate berpendapat dia lebih suka jika maklumat itu tidak keluar daripada kem latihan serta tidak didedahkan kepada orang ramai.

"Segala maklumat tampak didedahkan dari banyak kawasan," katanya.

"Ini adalah akibat daripada pasukan bola sepak England ketika ini. Ia satu situasi sukar dan sesuatu yang perlu kami fikirkan untuk meneruskan kemaraan.

"Pasukan keluar, begitu juga maklumat, jadi kelihatan banyak suara dari belakang. Ia sesuatu yang perlu saya terima dan hadapi.

"Setiap pemain mempunyai peluang untuk bercakap dengan saya jika mereka mahu dan bagi saya, kumpulan ini sedia untuk mara."

Sewaktu Piala Dunia, maklumat kesebelasan utama pasukan England telah didedahkan menjelang perlawanan menentang Panama selepas gambar pembantu jurulatih, Steve Holland, dengan nota barisan kemungkinan diambil ketika sesi latihan terbuka.

Ketika itu, Southgate tidak menghiraukan maklumat tentang nota tersebut walaupun dia menegaskan keputusan untuk mendedahkan gambar itu berpotensi menjejaskan pasukan bimbingannya itu.

"Pada awalnya, ia tidak mengganggu saya," katanya.

"Terdapat 23 nama dalam senarai itu dan halaman seterusnya menampilkan pemain berbeza dalam pelbagai posisi kerana kami menukarnya.

"Bagi saya, tiada drama tetapi jelas sekali apabila kami memberi peluang buat lawan mengetahui tentang pasukan pada bila-bila masa, ia memberi kelebihan buat mereka.

"Jadi, sudah tentu media perlu membuat keputusan sama ada membantu kami atau tidak. Namun, memandangkan ia senarai skuad, ia tidak memberi banyak perbezaan."

Pertahanan The Three Lions, Ben Chilwell, berpendapat pendedahan itu sudah dijangka dalam bola sepak moden walaupun dia mengakui ia menjadi kunci kepada kepercayaan penuh dalam kalangan pemain dan staf pasukan.

"Kami adalah pasukan yang sangat padat tetapi ia bukan sahaja melibatkan skuad," ujar pemain Leicester City itu.

"Terdapat ramai orang bekerja di Hotel Hilton St George's Park yang turut terlibat.

"Ia bukan sahaja tentang England tetapi turut berlaku dalam kelab bola sepak. Perkara seperti itu sentiasa terdedah.

"Selagi wujud kepercayaan dalam pasukan, ia harus kekal antara skuad dan kami gembira."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen