Tuchel tidak takut ancaman buat Neymar di Strasbourg

Oleh Nafis Abdullah 7 Mac 2020 53
Tuchel tidak takut ancaman buat Neymar di Strasbourg
Masalah lalu di antara Neymar dan pemain Strasbourg tidak akan menghalang pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, daripada meletakkan bintang Brazil itu dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan awal pagi esok.

Dalam aksi Piala Perancis tahun lalu, Neymar mengalami kecederaan tulang metatarsal selepas tiga kali dijatuhkan dan pemain Strasbourg, Anthony Goncalves, kemudian memberitahu penggempur itu agar tidak menangis dan seperti kanak-kanak.

Kecederaan itu menyebabkan Neymar diketepikan selama tiga bulan, menyaksikan dia terlepas pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester United dan PSG tersingkir.

Aksi awal pagi esok hadir empat hari sebelum perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund, di mana PSG tewas 2-1 sebelum ini.

Tuchel mendedahkan Neymar mengalami sedikit kecederaan daripada kemenangan ke atas Lyon dalam saingan Piala Perancis, pertengahan minggu ini tetapi jika dia cergas, pengendali itu tidak akan merehatkannya hanya kerana situasi yang berlaku sebelum ini.

"Tidak, ia aksi bola sepak dan apa sahaja boleh berlaku," katanya.

"Kami tidak boleh melindungi mereka. Kami memiliki kisah lampau dengan Strasbourg tetapi saya tidak fikir mereka akan lakukan perkara pelik. Saya tidak takut.

"Neymar mengalami kecederaan ketika berdepan Lyon, jadi kami perlu buat keputusan. Jika sedia, dia akan beraksi."

Bagaimanapun, menjelang pertemuan dengan Dortmund, Tuchel menantikan perkembangan kecergasan rakan senegara Neymar, Thiago Silva.

Pertahanan itu terlepas dua aksi PSG sebelum ini akibat kecederaan paha dan pada awalnya, dia dijangka terlepas pertemuan kedua dengan Dortmund.

Namun, kini dia telah kembali menjalani latihan dan Tuchel berharap bek tengah itu dapat diturunkan.

"Saya kini lebih yakin," katanya.

"Dia tidak lagi berasa sakit. Hanya masa menentukan. Mungkin dia boleh beraksi selama 45 minit menentang Strasbourg tetapi ia agak berisiko memandangkan hanya satu sesi latihan disertai. 

"Saya menunggu sehingga Isnin depan dan kami akan buat keputusan.

"Saya bercakap dengan Silva hampir setiap hari. Dia jelas bersedia untuk aksi Rabu nanti dan mahu bermain.

"Kami akan buat keputusan pada Selasa atau Rabu depan. Itu perancangannya. Kami tidak boleh tetapi tidak sabar."

Bagaimanapun, pertemuan PSG dan Strasbourg ditangguhkan ekoran kerisauan mengenai wabak Coronavirus serta selepas menerima nasihat daripada pihak berkuasa.

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen