UCL: Celtic gagal angkara silap sendiri 

Oleh Staff Writer 14 Ogos 2019 1120
UCL: Celtic gagal angkara silap sendiri 
CELTIC 3 CLUJ 4 
(Cluj mara dengan agregat 5-4) 

Neil Lennon melabel Celtic melepaskan gol yang "gila, membunuh diri" ketika tersungkur kepada CFR Cluj dalam kekalahan mengejut Liga Juara-Juara (UCL).


Juara Scotland itu tunduk 3-4 di Glasgow, awal pagi tadi, tersingkir 4-5 secara agregat untuk terlepas pertemuan dengan Slavia Prague.

Celtic ketinggalan 0-1 dalam separuh masa pertama sebelum bangkit 2-1 melalui penyudah James Forrest dan Odsonne Edouard, namun Abdel Billel Omrani menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti.

Tuan rumah kembali mendahului menerusi jaringan Ryan Christie tetapi Omrani sekali lagi mempamerkan bisanya untuk mengikat kedudukan 3-3 sebelum George Tucudean memastikan Cluj ke pusingan berikutnya menerusi tendangan terakhir permainan.

Pengurus Celtic, Lennon, mengakui pasukannya tidak beraksi dengan cukup baik dalam babak pertama dan berasakan mereka melepaskan gol berikutan kelemahan pertahanan. 

"Jaringan yang kami dibolosi adalah gila," katanya kepada BBC Radio Scotland. "Anda perlu melakukan perkara-perkara asas dengan baik -- anda perlu menyekat hantaran silang, menutup gerakan lawan dan memberi tumpuan. 

"Tetapi sebaik kami menjaringkan gol, kami mengendurkan permainan dan hanya ingin mengawal permainan.

"Dalam babak pertama, kami terlalu pasif, tempo kami terlalu lembab, jadi kami memberi mereka sedikit ruang dalam separuh masa dan mula menguasai bola dengan lebih cekap ketika mendahului 2-1. Tetapi kami perlu mendahului dengan dua gol. Kami membunuh diri apabila membenarkan untuk dibolosi. 

"Sebelum itu, kami menerima peringatan dalam jaringan pertama pihak lawan dan kami masih tidak menyekat hantaran silang mereka itu dan membenarkan pemain lawan membuat larian. Jika anda tidak melakukan perkara-perkara asas dengan cukup baik, maka pada tahap ini, anda akan dihukum.

"Kami telah memberi ruang kepada lawan. Kami patut menyalahkan diri sendiri. Kami berkesempatan memimpin perlawanan dan kami melepaskannya atas kesilapan sendiri."

Lennon, bagaimanapun, bertekad untuk melakukan persiapan untuk menghadapi play-off ke peringkat kumpulan Liga Europa.

"Kami perlu bersama-sama bekerja keras. Pertama sekali, kami perlu meningkatkan semangat mereka," katanya.

"Kami akan dikritik dan ia memang patut. Kami bertungkus-lumus untuk mendapatkan kedudukan ini tetapi secara dasarnya, kami telah mensia-siakannya. Kami mempunyai pertahanan yang bagus tetapi mereka melambat-lambatkan permainan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen