Utamakan gelaran berpasukan -- Mbappe

Oleh Staff Writer 12 Oktober 2018 589
Utamakan gelaran berpasukan -- Mbappe
Kylian Mbappe menegaskan dia menolak sebarang perbincangan mengenai peluangnya untuk memenangi Ballon d'Or selepas mencetus inspirasi buat Perancis ketika seri 2-2 dengan Iceland.

Perancis dilihat bakal mengalami kekalahan pertama sejak saingan Piala Dunia apabila ketinggalan 2-0 di Guingamp selepas Birkir Bjarnason dan Kari Arnason mencetak jaringan untuk Iceland dan mengawal permainan.

Pengendali Les Bleus, Didier Deschamps, menurunkan Mbappe selaku pemain gantian yang melepaskan rembatan hingga memaksa Holmar Eyjolfsson melakukan jaringan sendiri pada minit ke-86 sebelum menyempurnakan sepakan penalti empat minit kemudian bagi menyelamatkan maruah Perancis.

Mbappe, yang kini berada dalam senarai 30 pemain untuk dinobat sebagai pemenang Ballon d'Or, menegaskan dia cuba untuk mengalihkan perhatiannya daripada perbincangan tersebut.

"Saya tidak fikir mengenainya. Sebagai pemain bola sepak, saya tidak mahu bersifat individualistik -- mengutamakan gelaran ini," kata Mbappe.

"Saya cuba melihatnya sebagai usaha sepasukan kerana  PSG dan Perancis dibarisi pemain-pemain berkualiti dan mereka banyak membantu saya.

"Saya berasakan anda tidak perlu membandingkan saya dengan Ronaldo dan Messi kerana mereka berada di tahap terbaik dalam era yang berbeza."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen