Van Persie kagum dengan aksi Fernandes

Oleh Ammar Hakim 21 Februari 2020 2362
Van Persie kagum dengan aksi Fernandes
Robin van Persie menyifatkan Bruno Fernandes sebagai 'seronok ditonton' di sebalik pemain tengah itu sekadar beraksi selama 15 minit ketika Manchester United seri 1-1 dengan Club Brugge.

Jaringan di tempat lawan daripada Anthony Martial menafikan gol pembukaan Emmanuel Bonaventure Dennis di Belgium memberikan kelebihan kepada United menjelang aksi timbal balik pusingan 32 Liga Europa (UEL).

Pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer, melakukan enam pertukaran daripada kesebelasan utama ketika mengatasi Chelsea 2-0 tiga hari yang lalu, dengan pemain terbaru, Fernandes, antara yang berada di bangku simpanan.

Jentera tengah United bergelut sehinggalah Fred hadir ke dalam perlawanan menggantikan Andreas Pereira selepas minit ke-71 dan sejurus Fernandes menggantikan Diogo Dalot 10 minit kemudian, The Red Devils akhirnya mendominasi permainan.

Walaupun hanya 15 minit berada di atas padang, Fernandes melakukan lebih percubaan (empat) daripada rakan sepasukan yang lain sementara menyempurnakan setiap hantaran.

Bekas penyerang United, Van Persie, kagum dengan persembahan pemain kebangsaan Portugal itu, yang berhijrah dari Sporting CP bulan lalu.

"Dia seorang yang sukar untuk dipercayai," kata Van Persie. "Dia memiliki sesuatu dan persembahannya sesuatu yang boleh dinikmati."
United ketinggalan menerusi jaringan Dennis, yang melepasi Dalot dan Brandon Williams sebelum mengatasi Sergio Romero.

Brugge memberikan United jaringan penyamaan, Brandon Mechele gagal kemas mengawal bola sebelum dirampas Martial yang berjaya mencetak jaringan ke-14 musim ini.

Juan Mata kecewa gagal meraih kemenangan tetapi menerima United tidak melakukan secukupnya untuk menamatkan perlawanan ini.

"Kami mahukan kemenangan," katanya kepada MUTV. "Dalam separuh masa kedua, kami memberikan tekanan dengan lebih baik dan berpeluang untuk menggandakan jaringan.

"Tetapi mereka bermula cemerlang, mengawal bola dengan baik dan menampilkan corak permainan fizikal dan gagal menemui ruang dalam separuh masa pertama.

"Mereka menjaringkan gol mudah, kami meraih gol menerusi kesilapan mereka. Kami mahukan kemenangan, keputusan 1-1 bukanlah keputusan yang teruk, tetapi kami mahu menang."
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen