Zidane mahu Bale bukti kemampuan sebenar

Oleh Staff Writer 24 Ogos 2019 917
Zidane mahu Bale bukti kemampuan sebenar
Zinedine Zidane mahu Gareth Bale mengulangi prestasi yang dipamerkan ketika berdepan Celta Vigo dan membuktikan kemampuannya untuk kekal di Real Madrid bagi jangka masa panjang.

Ketua jurulatih, Zidane, bulan lalu membenarkan bintang kelahiran Wales itu untuk meninggalkan kelab itu tetapi perpindahan menyertai kelab Liga Super China, Jiangsu Suning, bagaimanapun tidak berhasil.

Walaupun kelihatan sudah tawar hati bersama Los Blancos, Bale, bagaimanapun, berada dalam kesebelasan utama aksi pembukaan LaLiga berdepan Celta dan mempamerkan aksi terbaik, melakukan bantuan jaringan kepada Benzema untuk meledak gol pembukaan ketika merakamkan kemenangan 3-1.

Zidane mengesahkan selepas perlawanan tersebut bahawa Bale akan terus bersama pasukan dan mahu bekas pemain Tottenham itu beraksi secara konsisten di Balaidos.

"Ia merupakan perlawanan yang baik buat Bale," kata Zidane. "Dia turut membantu pasukan ketika bertahan. Kami mahu dia meneruskan momentum itu.

"Kami perlu memperbaiki kelemahan jika mahu mencipta kejayaan musim ini. Real dibarisi pemain-pemain berbakat dan setiap seorang daripadanya memiliki peranan masing-masing.

"Banyak perkara telah berlaku tetapi kini Bale telah meluahkan dia mahu terus bersama pasukan. Dia seorang pemain yang penting, dia telah membuktikan seelum ini dan perlu mengulanginya," ujarnya.

Zidane turut melaungkan cabaran yang sama dengan James Rodriguez, dengan perancang kelahiran Colombia itu turut kembali ke kesebelasan utama selepas dikaitkan dengan Atletico Madrid dan Napoli.

"Kami sangat gembira kerana Rodriguez kembali bersama pasukan. Dia gembira bersama pasukan. Banyak perlawanan menanti Real dan setiap pemain harus menampilkan aksi terbaik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen