Perak perlu perbaiki benteng

Oleh Azizan Hashim 12 Julai 2019 1075
Perak perlu perbaiki benteng
"Perak perlu pertingkatkan kualiti bertahan bagi mendapatkan hasil lebih baik dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019."

Pandangan itu disuarakan oleh pengurus pasukan, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, menjelang pertemuan dengan Melaka di Stadium Indera Mulia, Ipoh, malam esok.

Dia berkata demikian berdasarkan apa yang berlaku dalam perlawanan terakhir menentang KL City di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Ahad lalu.

"Cuma masalah bertahan. Pemain kerap hilang fokus menyaksikan gol-gol mudah dilepaskan.

"Justeru, kami perlu berusaha lebih keras lagi untuk perlawanan seterusnya," kata Wan Fadzli atau lebih terkenal sebagai Boy.

Dalam aksi lima hari lalu, Perak mendahului 3-1 satu ketika tetapi gagal mempertahan kelebihan yang menyaksikan pelawat mendahului 4-3 sebelum Perak menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat.

"Saya gembira dengan semangat melawan pemain. Mereka tidak berhenti bermain dan kesungguhan mereka membantu kami mengutip mata.

"Saya berharap pemain mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti perlawanan terakhir kami itu," tambahnya.

Perak, yang juga naib juara tahun lalu, hanya mengutip dua mata setakat ini selepas seri dengan Kedah dan KL City FC di Ipoh dan tunduk di tangan Selangor dan Kuala Lumpur.

"Daripada segi corak permainan, sudah ada peningkatan. Kami mengatur gerakan kemas dan tersusun," katanya lagi.

Kredit foto: Arena Futsal Malaysia

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen