Hairi tidak anggap dirinya pengganti Kumar

Oleh Muzaffar Musa 5 Julai 2020 121
Hairi tidak anggap dirinya pengganti Kumar
Penjaga gol skuad hoki negara, Hairi Abd Rahman, enggan mendabik dada disebalik status pemain pilihan bagi menggantikan pemain legenda, S. Kumar, yang telah mengumumkan persaraannya.

Dia merupakan pemain paling senior dalam kalangan empat penjaga gol yang dimiliki skuad negara ketika ini.

Mereka menggalas tugas berat untuk menggantikan Kumar, yang bersara selepas 20 tahun mewakili Malaysia pada Februari lalu.

Namun, sebaik kembali berlatih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil  --  selepas berehat empat bulan berikutan pandemik COVID-19 -- tiada pemain dilihat miliki kelebihan.

"Bagi saya, untuk menggantikan S. Kumar adalah satu tugas yang amat berat tetapi kami sebagai pemain muda yang sedia ada, telah memberikan yang terbaik dalam sesi latihan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Untuk pemilihan sebagai pengganti kepada S. Kumar, ia masih lagi terbuka di mana kami mempunyai empat penjaga gol dalam pasukan.

"Jadi, keempat-empat kami mempunyai peluang untuk mengisi tempat itu.

"S. Kumar memberikan komitmen yang amat tinggi buat pasukan.

"Dia mempunyai banyak pengalaman dan boleh digunakan oleh penjaga gol yang lain pada masa akan datang," katanya.

Tamparan terhebat Hairi, 30, ialah ketika digugurkan pada saat-saat akhir dalam Piala Dunia 2018.

Situasi itu tidak mustahil untuk berulang memandangkan kesemua pemain akan merebut tempat bagi menyertai hanya satu kejohanan tahun ini, iaitu Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November depan.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen