Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Laluan getir menanti skuad kebangsaan 

Oleh Bernama 8 Julai 2019 14554
 Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Laluan getir menanti skuad kebangsaan 
Skuad hoki lelaki negara berdepan tugas getir untuk merebut peluang terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila dijangka berdepan dengan salah satu daripada empat negara, iaitu Jerman, New Zealand, Sepanyol atau Kanada, dalam play-off kelayakan, Oktober dan November depan.

Kemungkinan Malaysia bakal bertemu salah satu daripada empat negara tersebut untuk layak ke Tokyo, kata ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans.

Beliau berkata mengikut ranking terbaru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) minggu lalu, skuad Malaysian Tigers di ranking ke-12 dunia berkemungkinan akan menentang pasukan yang menghuni ranking di antara tujuh hingga ke-10.

Juara Sukan Olimpik tiga kali, Jerman, menduduki ranking ketujuh, diikuti New Zealand (8), Sepanyol (9) dan Kanada yang menghuni ranking ke-10 dunia.

“Berdasarkan ranking terkini, kemungkinan ini adalah antara pasukan lawan yang akan kita bertemu. Bagaimanapun, ranking pasukan akan berubah selepas mata ditambah hasil daripada kutipan mata dalam kejohanan benua, September ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam sesi latihan skuad negara di Bukit Jalil, hari ini.

Mengikut format FIH, pasukan yang diundi dalam saingan kelayakan terakhir itu akan bermain secara timbal balik dengan pemenangnya akan layak ke Tokyo.

Dalam pada itu, Oltmans berkata anak buahnya menunjukkan kemajuan positif dalam sesi latihan, khususnya dalam ujian kecergasaan yang dijalankan baru-baru ini.

“Saya positif dengan perkembangan pasukan tetapi yang pasti, kami hanya tahu kemajuan sebenar apabila bertemu pasukan handalan dunia dalam siri Jelajah Eropah mulai 21 Julai ini,” katanya.

Tambahnya, senarai 20 pemain ke Jelajah Eropah mungkin dumumkan Khamis ini.

Skuad Malaysian Tigers akan berlepas ke Eropah, 21 Julai ini, bagi mengadakan beberapa perlawanan ujian dan persahabatan dengan pasukan Jerman, Sepanyol, Belanda, Belgium, England dan Ireland sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik.

Selepas Jelajah Eropah, skuad negara akan mengambil bahagian dalam perlawanan ujian pra-Sukan Olimpik di Tokyo di samping pasukan Jepun, Australia dan New Zealand, dari 19 hingga 23 Ogos ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen