KHM lantik Lailin bimbing skuad remaja wanita

Oleh Staff Writer 21 Januari 2020 420
KHM lantik Lailin bimbing skuad remaja wanita
Bekas penolong jurulatih skuad hoki wanita negara, Lailin Abu Hassan, akan menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad hoki remaja wanita dalam persiapan membawa mereka menghadapi Piala Asia di Jepun, April depan.

Keputusan itu dipersetujui Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, yang memilih individu itu atas kekangan masa membuat pemilihan bagi jurulatih pasukan wanita selain berasakan Lailin mempunyai visi dan perancangan yang jelas buat pasukan hoki remaja wanita negara.

Bagi pasukan hoki remaja lelaki pula, jawatan ketua jurulatih bakal disandang Wallace Tan yang pernah membawa skuad hoki 5s negara ke Sukan Olimpik Remaja yang berlangsung di Buenos Aires. Dia akan dibantu oleh pengendali Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Gandingan tersebut dipilih bagi memantapkan barisan yang akan dipilih mewakili negara untuk Piala Remaja Asia yang akan berlangsung di Dhaka, Jun depan.

"Kami mengambil keputusan untuk melantik Lailin serta-merta untuk membimbing skuad remaja wanita bagi menghadapi saingan di Jepun. Kami juga mengambil keputusan untuk mengambil khidmat Wallace bagi membimbing skuad remaja lelaki negara," kata Subahan.



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen