Liga Hoki Remaja: MBPJ Tigers kenduri gol di Lembah Pantai

Oleh Staff Writer 21 Julai 2019 250
Liga Hoki Remaja: MBPJ Tigers kenduri gol di Lembah Pantai
Skuad hoki Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) Tigers berpesta jaringan apabila membenam pasukan tercorot Liga Hoki Remaja 2019, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Juniors, 5-1 di Stadium Hoki Kementerian Pelajaran Malaysia, Lembah Pantai, petang tadi.

MBPJ kendalian Harfizi Baharom itu turun untuk terus memberi tekanan bagi merebut tempat kedua liga selepas pendahulu, SSTMI Thunderbolt, tampak sukar digugat.

Bagaimanapun, perlawanan yang baru sahaja berlangsung terpaksa dihentikan kira-kira sejam gara-gara hujan dengan lebat disusuli petir tetapi sebaik sahaja aksi bersambung, MBPJ pantas meledak gol menerusi Syabil Azam.

Aksi dalam suku kedua pula menyaksikan MBPJ terus mengganas dengan Mohammad Rizal Naim menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Faiq Nazwan menambah derita lawan dengan gol ketiga.

Memasuki suku ketiga permainan, MBPJ tidak memperlahankan rentak tatkala Syabil terus cemerlang meledak gol kedua peribadi pada minit ke-49.

SSBJ meraih gol sagu hati menerusi Mohd Danial Ikmal pada minit ke-50, namun jaringan Mohd Rusydi Muhammad menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 memadamkan terus usaha tuan rumah.

"Syukur untuk tiga mata yang diraih petang ini. Untuk aksi berdepan SSBJ Juniors ini, ia tidak boleh dipandang mudah kerana mereka memiliki struktur permainan yang baik serta amat serasi sebagai satu pasukan," kata Harfizi.

"Saya rasa kedudukan liga sekarang lebih bertumpu kepada tempat kedua kerana status juara amat sukar."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen