Malaysia rehatkan Faizal, Tengku Ahmad Tajuddin

Oleh Staff Writer 14 Ogos 2019 1374
Malaysia rehatkan Faizal, Tengku Ahmad Tajuddin
Tiada kelibat Faizal Saari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil ke Tokyo setelah barisan kejurulatihan hoki negara merombak skuad 18 pemain bagi menyertai Siri Kejohanan Ujian di Jepun itu.

Selepas melengkapkan sembilan perlawanan dalam Siri Jelajah Eropah, skuad hoki lelaki negara berlepas ke Jepun bagi menghadapi Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Hoki Oi, Sabtu ini.

Bagaimanapun, taruhan bagi menggalas cabaran di Tokyo nanti menimbulkan persoalaan apabila dua penyerang sensasi itu tidak disenaraikan.

"Pengendali kebangsaan, Roelant Oltmans, telah berbincang dengan saya dan semua barisan jurulatih. Jelas sekali mereka (Faizal dan Tengku Ahmad Tajuddin) mempunyai pengalaman tetapi memerlukan rehat selepas melalui sembilan hari yang padat.

"Saya rasa tindakan ini diambil demi kebaikan mereka untuk meluangkan masa bersama keluarga," kata penolong jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen.

Pengendali itu juga menambah barisan kejurulatihan sudah mengenal pasti kriteria yang harus pemain miliki jika ingin beraksi dalam pusingan kelayakan terakhir Sukan Oolimpik Tokyo 2020, Oktober depan.

"Ia untuk melihat tahap konsisten dan pemain beraksi baik di bawah tekanan serta kombinasi pemain. Oltmans mahu menyaksikan pemain menggunakan peluang mempamerkan kredibiliti yang ada," jelasnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen