Oltmans makin suntuk bukti kepercayaan kepada KHM

Oleh Staff Writer 11 Julai 2020 208
Oltmans makin suntuk bukti kepercayaan kepada KHM
Talian hayat buat ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, semakin singkat dan satu-satunya cara untuk beliau terus mendapat kepercayaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) adalah memastikan Malaysia menamatkan penantian sembilan tahun meraih gelaran juara Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh, November ini.

Sejak berkhidmat bersama skuad kebangsaan pada Oktober 2018, Oltmans belum pernah membantu Malaysia meraih sebarang gelaran juara.

Paling mengecewakan, ramuan dibentuk Oltmans gagal membuahkan hasil untuk The Malaysian Hockey Tigers layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Kegagalan itu bermakna Malaysia gagal ke Olimpik sejak Sydney 2000.

Pengendali kelahiran Belanda itu kemudian diberikan penanda aras baru -- membawa skuad kebangsaan ke final Piala Sultan Azlan Shah 2020, namun kejohanan itu dibatalkan susulan penularan wabak Covid-19.

Justeru satu-satunya kejohanan yang dianggap relevan untuk jurulatih berusia 66 tahun tersebut membuktikan kredibilitinya adalah memacu Malaysia meraih gelaran sulung di ACT apatah lagi kontraknya juga bakal tamat hujung tahun ini.

"Buat masa ini tiada perubahan mengenai kedudukan Oltmans.

"Penanda aras baru Oltmans adalah pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dan masa depan pengendali tersebut akan ditentukan selepas ACT ," kata Timbalan Presiden KHM, Prof. Datuk Dr. Shamala.

Usaha mendapatkan komen Oltmans bagaimanapun tidak berhasil apabila beliau enggan memberi sebarang kenyataan.

Sementara itu, mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut memuktamadkan senarai pendek calon jurulatih hoki wanita negara.

Daripada empat calon dikenal pasti, satu-satunya calon tunggal tempatan merupakan bekas penjaga gol, Nasihin Nubli, yang kini bertugas sebagai pengurus skuad lelaki kebangsaan.

KHM dijangka akan mengumumkan keputusan akhir Isnin ini, termasuk struktur penuh barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan.

"Kami telah mempunyai beberapa cadangan untuk perlantikan jurulatih wanita dan barisan kejurulatihan skuad wanita.

"Tetapi kami perlu mendapat kelulusan ahli lembaga KHM sebelum mengumumkan Isnin ini," jelas Shamala.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen