Oltmans terima bantuan tiga jurulatih antarabangsa

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Oltmans terima bantuan tiga jurulatih antarabangsa
Skuad hoki negara akan mendapat sentuhan jurulatih luar negara, Martijn Drijver, Taeke Takema dan Micheal McCann, untuk dua aksi persahabatan menentang kelab Belanda bermula 24 Oktober ini sebelum saingan playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketiga-tiga legenda itu akan membantu persiapan fasa akhir Malaysia sebelum berdepan Great Britain, 2 dan 3 November depan untuk menentukan tiket ke Olimpik Tokyo.

Malah, McCann akan turut bersama skuad negara ke London bagi memastikan barisan depan skuad kebangsaan menerima bantuan secukupnya.

"Mereka pakar dalam bahagian masing-masing, termasuk pukulan sudut penalti. Takema jelas sangat bagus dengannya sambil McCann tahu apa perlu dilakukan dengan jentera serangan. Sebab itu saya minta mereka sertai kami," kata pengendali kebangsaan, Roelant Oltmans.

Malaysia akan mengadakan program latihan selama tiga hari di Genting Highlands bermula Isnin ini untuk analisis video dan menyesuaikan diri dengan suhu sejuk di London yang mencecah tujuh darjah Celsius.

Persaingan kian sengit untuk merebut 18 tempat ke London dengan tiga pemain akan digugurkan minggu depan.

"Sekarang saya rasa sedang berada pada tahap yang baik untuk kelayakan nanti. Diharapkan seluruh pasukan mampu kekalkan rentak ini, jangan ada pemain yang alami penurunan prestasi," kata penyerang negara, Shahril Saabah.

"Kami sedang mencari penyelesaian untuk mendapatkan gol menerusi permainan padang. Kami juga memberi penekanan ketika bertahan dan menyerang dalam pukulan sudut penalti," tambah rakan sepasukannya, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen