Siri Akhir FIH: Skuad wanita pastikan tiket play-off

Oleh Staff Writer 10 Jun 2019 14335
Siri Akhir FIH: Skuad wanita pastikan tiket play-off
MALAYSIA 12 SINGAPURA 0 

Skuad hoki wanita negara memastikan slot play-off Kejohanan Hoki Pusingan Akhir Siri FIH 2019 berada di dalam genggaman setelah membelasah negara jiran, Singapura, 12-0 malam tadi. 


Malaysia bangkit untuk mengutip mata dalam perhitungan kedua Kumpulan A itu selepas tumbang tipis 1-2 kepada naib juara dunia, Ireland, dalam aksi pembukaan.

Kemenangan besar 12-0 ke atas Singapura memberi kelebihan buat skuad negara untuk mendaki tangga kedua kumpulan yang boleh memberi jaminan buat Malaysia mara ke perlawanan play-off separuh akhir.

"Kemenangan besar kami ke atas Singapura bukan soal besar.

"Kami menyumbat gol dalam pukulan sudut penalti ketika menentang Ireland, jadi saya sudah menjangkakan sentuhan kami akan lebih tajam lagi," ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Bagaimanapun, kejayaan besar itu masih belum cukup buat Dhaarma memandangkan aksi terakhir peringkat kumpulan bakal menemukan mereka dengan Republik Czech esok, yang akan menentukan lawan Malaysia dalam pusingan play-off kelak. 

Hanya juara kumpulan yang akan layak ke separuh akhir secara automatik sementara pasukan di tempat kedua dan ketiga akan bertembung secara silang dengan lawan dalam Kumpulan B yang masih lagi terbuka antara Perancis, Ukraine dan Scotland.

"Kemenangan atau seri dengan Republik Czech akan memberikan perbezaan besar memandangkan saingan memburu tempat kedua dan ketiga masih terbuka luas.

"Perancis dan Scotland masih berpeluang untuk merebut tempat kedua dan ketiga," tambah beliau. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen