Olahraga: Cray lebih utamakan 400m berpagar

Oleh Staff Writer 21 Ogos 2017 2613
Olahraga: Cray lebih utamakan 400m berpagar
Lelaki terpantas Asia Tenggara, Eric Shawn Cray, lebih berminat mempertahankan pingat emas 400m berpagar berbanding 100m kerana jadual padat selain kehadiran Khairul Hafiz Jantan dalam Sukan SEA Ke-29 ini.

Pertembungan Eric dan Khairul Hafiz dalam 100m menjadi tumpuan utama olahraga di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Eric akan turun sebagai juara bertahan tetapi Khairul menghuni ranking pertama Asia Tenggara dengan catatan10.18s yang juga rekod kebangsaan.

Begitupun, pelari berusia 29 tahun ini berdepan tugas berat kerana acara final 400m berpagar dan 100m lelaki cuma dibezakan tempoh satu setengah jam.

"Saya mahu mempertahankan gelaran 100m saya. Saya akan cuba yang terbaik. Saya pernah berlumba dalam acara 400m berpagar dan 100m dalam tempoh terdekat dan kita lihatlah apa yang akan berlaku nanti," katanya.

Ditanya apakah acara keutamaannya, Cray berkata: "400m berpagar sentiasa menjadi acara keutamaan dan kegemaran saya.

"Saya berharap selepas mempamerkan aksi terbaik dalam 400m berpagar, kemudian beralih memberikan aksi terbaik dalam 100m pula."

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai persaingannya dengan Khairul Hafiz, dia hanya menyebut: "Saya mengucapkan semoga berjaya dan jumpa kamu esok."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen