Olahraga: Jadual padat hadiah buat Irfan

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2017 306
Olahraga: Jadual padat hadiah buat Irfan
Tanggal 16 Ogos 2017 merupakan ulang tahun kelahiran ke-22 buat atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, namun dia kini sedang giat mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, tiada kek yang diterima oleh Irfan, sebaliknya jadual latihan padat bagi memastikan sasarannya untuk membutirkan satu pingat emas buat negara tercapai.

Selain itu, dia juga menyasarkan untuk memperbaharui rekod peribadinya sendiri.

"Hari ini adalah hari jadi saya. Saya rasa bersyukur diberi peluang boleh bernafas selepas berumur 22 tahun.

"Saya berharap agar ulang tahun kali ini mendapat kenangan yang manis dalam Sukan SEA dan seterusnya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Taiwan.

"Saya tidak sabar untuk aksi yang akan datang dan memenangi emas," kata Irfan.

Sementara itu, jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, yang diberi penghormatan membaca ikrar dalam upacara perasmian Sukan SEA pada Sabtu ini, ingin menghadirkan aura tersendiri bagi mewakili seluruh atlet dalam menaikkan semangat mereka untuk beraksi.

"Ia satu penghormatan apabila diberikan peluang untuk membacakan ikrar dalam perasmian Sukan SEA nanti.

"Sesuatu yang saya ambil serius. Ini bukan mengenai saya mewakili diri sendiri, malah mewakili seluruh negara,” katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen