Sukan SEA: Ing Yueh harapan terbaik skuad gimnastik artistik

Oleh Staff Writer 31 Julai 2017 314
Sukan SEA: Ing Yueh harapan terbaik skuad gimnastik artistik
Tan Ing Yueh membuktikan bahawa dia harapan terbaik skuad gimnastik artistik negara untuk mencapai sasaran dua pingat emas Sukan SEA bulan depan apabila mendominasi kejohanan ujian dengan menjuarai tiga apparatus di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Ing Yueh, pemenang emas apparatus melombol Sukan SEA Singapura 2015, membuktikan kehebatan selepas mengatasi rakan sepasukan, Farah Ann Abdul Hadi, Tracie Ang dan Nur Azira Azirim, dalam pertandingan itu.

Dia mengumpul mata terbanyak dalam apparatus melombol, batang titian dan senam lantai untuk mencatat keseluruhan 53.05 mata, sekali gus membuktikan dia harapan terbaik dalam temasya bulan depan.

"Saya akan memberikan tumpuan untuk memberikan yang terbaik dalam semua acara dalam Sukan SEA kali ini," kata Ing Yueh.

Malaysia meraih tiga emas di Singapura dua tahun lalu menerusi Ing Yueh dalam melombol, Farah Ann (senam lantai) dan berpasukan wanita.

Begitupun, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) hanya menyasarkan dua emas untuk acara artistik berbanding tujuh emas bagi gimrama.

"Berdasarkan keputusan kejohanan ujian ini, sesiapa pun boleh meraih pingat dalam Sukan SEA nanti, yang penting adalah kami mampu memberikan yang terbaik," kata Farah Ann.

Sementara itu, jurulatihnya, Natalia Sinkova, berkata: "Setiap gimnas kami sudah bersedia untuk berjuang mendapatkan kejayaan dalam Sukan SEA."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen