Sukan SEA: Jegathesan mahu atlet negara pamer aksi terbaik

Oleh Staff Writer 14 Ogos 2017 49
Sukan SEA: Jegathesan mahu atlet negara pamer aksi terbaik
"Inilah masanya untuk tebus segala pengorbanan", demikian saranan bekas jaguh pecut negara, Tan Sri Dr M. Jegathesan, buat barisan atlet yang dahagakan kejayaan di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur selepas berkorban masa bersama keluarga demi negara selama ini.

Semua atlet telah pun melakukan segala persiapan sejak awal demi mengharumkan nama negara dalam temasya dwitahunan ini.

Berjauhan daripada keluarga sudah sebati dalam diri seorang atlet dan pengorbanan sedemikian dibuat kerana perlu memberi fokus sepenuhnya kepada sesi latihan.

Selaku atlet legenda negara, Jegathesan mengerti kemahuan mereka yang menginginkan pengorbanan mereka berbaloi dan sudah tiba masa untuk menebus penat lelah itu dengan kejayaan di laman sendiri.

"Sudah tentu apabila sesuatu kejohanan itu diadakan di laman sendiri, sentiasa ada motivasi tambahan selain mendapat sokongan daripada penyokong tempatan," kata Jegathesan.

"Itu akan melonjakkan atlet untuk memberikan persembahan terbaik selain peminat juga mengharapkan aksi terbaik.

"Saya pasti mereka mampu mencapai sasaran keseluruhan pingat yang ditetapkan."

Pastinya saat yang dinantikan Jegathesan yang membuat penampilan kali pertama dalam Sukan SEAP 1959 ialah untuk melihat barisan atlet olahraga beraksi, khususnya Khairul Hafiz Jantan selaku raja pecut negara ketika ini.

"Khairul Hafiz akan berdepan cabaran daripada pelari Filipina dan Thailand dan dia berjaya membuat catatan terbaik. Pesaingnya yang sepatutnya berasa bimbang," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen