Sukan SEA: Juarai acara berpasukan bukti kekuatan skuad gimnas negara

Oleh Staff Writer 6 Jun 2017 275
Sukan SEA: Juarai acara berpasukan bukti kekuatan skuad gimnas negara
"Kekuatan negara diukur pada kekuatan acara berpasukan", tegas jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Wai, yang tidak mahu anak buahnya terlepas emas bagi acara berpasukan, sekaligus membuktikan Malaysia adalah pasukan terkuat di rantau ASEAN.

Aksi dalam Kejohanan Asia di Bangkok bulan lalu cukup untuk membuktikan Malaysia adalah pasukan terkuat di Asia Tenggara ketika ini selepas menamatkan saingan berpasukan di tangga keempat di bawah Jepun, China dan Korea Utara.

Hal itu mahu dikekalkan Shu Wai terhadap pentingnya gimnastik wanita berpasukan mengulangi emas dua tahun lalu, sekaligus membuktikan skuad negara merupakan pasukan terbaik yang pernah Malaysia miliki setakat ini.

"Acara berpasukan membuktikan kekuatan skuad gimnastik sesebuah negara. Saya berharap atlet-atlet dapat meraih pingat emas dalam edisi yang dianjurkan di Malaysia," katanya.

Menerusi pemerhatian Shu Wai ke atas pasukan negara lain, dia yakin skuad negara memiliki taraf jauh lebih baik melibatkan beberapa aspek penting.

Dalam masa sama, Shu Wai prihatin dengan perkembangan skuad negara jiran, Singapura, yang kononnya memiliki senjata rahsia, di mana salah satu gimnas mereka menjalani latihan di Amerika Syarikat sebagai persediaan ke Sukan SEA kali ini.

"Salah seorang gimnas Singapura membuat persiapan di Amerika Syarikat. Dia masih tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan dan setiap orang mahu melihat kebolehannya."

Shu Wai, yang merupakan pemenang emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2001, mengakui teruja untuk membawa pasukan kali ini dengan menegaskan aksi di negara sendiri memberi nilai yang lebih istimewa apabila melihat barisan penyokong teguh di belakang atlet negara.

Sementara itu,  gimnas negara, Tracie Ang, yakin kejayaan dua tahun lalu mampu diulangi dengan kejayaan lebih baik andai dua perkara, iaitu kecergasan dan keharmonian dalam pasukan, mampu dikekalkan.

"Setiap gimnas perlu berada di tahap terbaik bagi memastikan kami mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu," kata Tracie.

Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, juga melaungkan keyakinan yang sama, namun mengelak daripada memperlekeh kemampuan pasukan lain dengan melabelkan semua negara berada dalam persediaan terbaik mereka.

"Kami perlu sentiasa berjaga-jaga kerana Malaysia dan negara-negara lain tidak menurunkan skuad yang terbaik dalam kejohanan di Bangkok. Sejak dua tahun lalu, Filipina serta beberapa negara lain, terdapat peningkatan yang mampu menghasilkan kejutan," kata Farah Ann.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen