Aguero akan jaring gol hingga mati, kata Guardiola

Oleh Staff Writer 1 September 2019 1382
Aguero akan jaring gol hingga mati, kata Guardiola
MANCHESTER CITY 4 BRIGHTON & HOVE ALBION 0

Pep Guardiola memuji Sergio Aguero selepas Manchester City menewaskan Brighton and Hove Albion 4-0 sambil berkata penyerangnya itu akan menjaringkan gol sehingga ke akhir hayatnya.


Aguero menjaringkan dua gol -- satu dalam setiap separuh masa -- ketika City meraih kemenangan di tempat sendiri dalam Liga Perdana Inggeris malam tadi, dengan penyerang Argentina itu telah menemui sasaran sebanyak enam kali daripada empat perlawanan pertama selain turut membantu jaringan Benardo Silva pada lewat permainan.

Kevin de Bruyne menjaringkan gol pembukaan pada 68 saat pertama untuk City meraih kemenangan ketiga daripada empat perlawanan musim ini, namun ketajaman Aguero mendapat pujian pengurus pasukannnya, Guardiola.

"Sergio menjaringkan gol ketika dia di Argentina pada usia 16 tahun dan dia akan menjaringkan gol hingga mati.

"Dia memiliki bakat istimewa dan saya menggemari apabila dia cuba untuk melakukannya.

"Sejak hari pertama, dia sudah banyak berubah dan saya gembira dengan komitmennya.

"Sudah pasti kami memerlukan jaringan, semua tahu perkara itu.

"Dia membantu kami dengan jaringannnya, namun pada hari dia tidak menjaringkan gol, kami memerlukan komitmen seperti itu.

"Dia memang seperti itu sejak hari pertama dan saya amat gembira untuk dirinya.

"Perlawanan ini sukar, jika kita menganalisis, keputusannya 4-0 tetapi prestasi tidak (bagus) kerana Brighton telah melakukannya dengan amat baik.

"Tidak banyak pasukan yang bermain di sini dengan keberanian seperti itu.

"Pemain saya di bahagian serangan amat bagus dan ia mendatangkan perbezaan.

"Pengurus seperti Graham Potter amat bagus untuk bola sepak," katanya.

Aymeric Laporte terpaksa diusung keluar dalam babak pertama selepas mengalami kecederaan lutut serius dan digantikan dengan Fernandinho, yang terpaksa beraksi di posisi pertahanan tengah.

Pemain pertahanan itu mungkin terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi itu memandangkan hanya Nicolas Otamendi merupakan pertahanan tengah senior yang masih cergas -- John Stones masih berlum pulih selepas mengalami kecederaan pinggul menjelang perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

Guardiola berkata mengenai Fernandinho: "Dia seorang pemain tengah bertahan, semua orang sedar perkara itu, termasuk saya, namun saya fikir dia mempunyai keupayaan untuk beraksi di sana (pertahanan tengah).

"Dengan masalah yang kami hadapi, dia akan menyesuaikan diri dengan situasi itu.

"Dia bijak, pantas, kuat dalam melakukan tandukan dan membina permainan.

"Dia mempunyai kualiti untuk melihat apa yang terjadi di bahagian depan.

"Dia boleh bermain di kedua-dua posisi itu," katanya.

Selain memuji taktikal Brighton, Guardiola turut menjelaskan dia mungkin boleh mempelajari beberapa perkara daripada Potter, yang turut memberikan masalah kepada City ketika bersama Swansea City dalam saingan Piala FA musim lalu.

Pengurus Brighton itu berkata: "Keputusan itu tidak menggembirakan kami tetapi prestasi yang ditunjukkan pemain adalah keberanian sebenar, beberapa gerakan menarik, apa yang diamalkan mereka amat hebat.

"Kami dikejutkan pada awal permainan dan ia bukanlah sesuatu yang anda mahukan, namun mereka menghadapinya dengan kental.

"Tahniah kepada City di atas kemenangan ini dan tahniah juga kepada pasukan kami kerana telah melakukannya seperti yang saya mahukan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen