Akinfenwa seronok terima ucapan Klopp atas kejayaan Wycombe

Oleh Shaiful Shamsudin 14 Julai 2020 1007
 Akinfenwa seronok terima ucapan Klopp atas kejayaan Wycombe
Adebayo Akinfenwa mendedahkan bahawa dia hanya berkesempatan untuk bercakap dengan Jurgen Klopp selepas membantu Wycombe Wanderers lolos ke Liga Kejuaraan sebelum pengurus Liverpool itu memberi maklum balas.

Wycombe meraih kejuaraan itu buat pertama kalinya dalam sejarah 133 tahun penubuhan mereka hasil kemenangan 2-1 perlawanan play-off Liga Satu ke atas Oxford United di Wembley, awal pagi tadi. 

Sepakan penalti yang diambil Joe Jacobson dengan baki 11 minit permainan lagi mengejutkan Oxford, seterusnya menghantar Wycombe ke divisyen kedua kancah di England itu. 

Wira Wycombe dan peminat Liverpool itu -- kontraknya berakhir hujung musim ini -- gembira dengan pencapaian berkenaan ketika memberitahu Sky Sports dalam wawancara selepas perlawanan itu berakhir: "Tengok, tengok biarkan saya bertenang. Pertama dan yang terpenting, saya bersyukur kepada tuhan kerana hari ini jika tanpaNya, peristiwa ini tidak mungkin berlaku.

"Empat tahun lalu, saya berdiri di hadapan anda dan secara teknikalnya sedang menganggur.
 
"Izinkan saya memberitahu anda sesuatu, satu-satunya orang yang boleh menghubungi saya di WhatsApp ketika ini adalah Klopp, agar kami boleh meraikannya bersama-sama. Anda faham? 

"Saya harap cerita saya ini membuktikan bahawa satu-satunya padangan terpenting adalah pendapat anda sendiri. Saya bernasib baik dan diberkati kerana menemui pengurus dan pemain yang mempercayai saya, sebab itulah kami berada di sini hari ini dan saya mewakili yang lain mahu berkata: 'Wycombe dalam Liga Kejuaraan'."

"Tunggu, tunggu, saya mahu mengatakannya sekali lagi: Wycombe dalam Liga Kejuaraan. Tunggu! Orang di belakang tidak mendengar ucapan saya! Wycombe dalam Liga Kejuaraan!

Pengurus Liverpool selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Klopp, kemudian mendapat tahu permintaan penyerang berusia 38 tahun itu lalu menghantar satu video kepada Akinfenwa, dengan berkata: "Hai lelaki sasa, tahniah!

"Saya menonton perlawanan itu tetapi saya tidak sempat menyaksikan temu bual pasca perlawanan. 

"Hendo (Jordan Henderson) atau salah seorang daripada anak buah saya memaklumkan mengenai hajat anda, apa yang anda fikir untuk diperkatakan sekiranya anda dapat menghubungi saya di WhatsApp, ayuh inilah dia!

"Tahniah. Saya cukup yakin sepanjang hidup, anda sekurang-kurangnya dapat menikmati (Liga Kejuaraan) dan akhirnya mencapainya. Syabas.

"Ini satu kemenangan hebat, hebat. Walaupun dalam tempoh yang aneh, saya harap anda meraikannya dengan sewajarnya."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen