Alexander-Arnold gembira dengan kebebasan untuk menyerang

Oleh Muzaffar Musa 25 Februari 2020 1371
Alexander-Arnold gembira dengan kebebasan untuk menyerang
Trent Alexander-Arnold memuji kemampuan Jurgen Klopp untuk mengeluarkan prestasi terbaik daripada setiap pemainnya selepas pertahanan sayap itu membintangi kemenangan 3-2 Liverpool ke atas West Ham di Anfield awal pagi tadi.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu perlu bangkit daripada ketinggalan dalam babak kedua untuk merekodkan kemenangan ke-18 berturut-turut dalam saingan liga musim ini -- menyamai rekod yang dipegang Manchester City pada 2017.

Alexander-Arnold memainkan watak penting dalam kejayaan itu dengan mencetuskan gol kemenangan Sadio Mane pada minit ke-81 selepas turut membantu jaringan pembukaan Georginio Wijnaldum pada awal permainan.

Pemain berusia 21 tahun itu melakarkan dua bantuan jaringan ketika menundukkan The Hammers bagi melengkapkan 25 bantuan yang telah dihasilkannya dalam Liga Perdana -- hanya Cesc Fabregas dan Wayne Rooney dapat mencapai jumlah itu pada usia yang lebih muda.

"Terdapat arahan daripada pengurus. Terdapat perancangan permainan dan cara untuk kami beraksi," katanya kepada Sky Sports' Monday Night Football.

"Bukan semua perlawanan sama. Pasukan lawan sentiasa berbeza.

"Maksudnya, terdapat taktik berbeza yang kami perlu terapkan.

"Tetapi pengurus memberikan kami kebebasan. Dia tahu kualiti yang dimiliki pemainnya.

"Ia sesuatu yang besar buat kami. Ia memberikan kami kebebasan untuk melakukannya dan menyerlahkan diri kami sebanyak mungkin.

"Kami pasukan yang gemar menyerang. Kami boleh mencipta peluang dan menjaringkan gol. Kami mampu mengancam lawan.

"Cara terbaik adalah dengan membenarkan pemain untuk ke depan dan mencipta sebanyak peluang yang mungkin," katanya.
 

Anak jati Liverpool itu turut berterima kasih kepada semua penyokong di Anfield sambil mengakui sokongan itu membolehkan mereka melakar kebangkitan dalam babak kedua.

"Kami mendominasi permainan dan mencuba untuk menghasilkan sebanyak mungkin peluang.

"Tetapi kami amat gembira dengan kemenangan ini dan itulah perkara paling penting.

"Namun, masih banyak perkara yang perlu diperbetulkan.

"Penyokong sentiasa bersama kami, terutama apabila kami ketinggalan.

"Ia kelebihan yang besar apabila mempunyai penyokong seperti ini.

"Bagi kami, kami hanya perlu terus mencuba dan itulah mentaliti yang diterapkan pengurus kami.

"Ia akhirnya berbaloi," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen