Brighton lengkapkan minggu malang Spurs 

Oleh Staff Writer 5 Oktober 2019
Brighton lengkapkan minggu malang Spurs 
BRIGHTON 3 TOTTENHAM 0 

Aaron Connolly menyumbat dua gol sambil Hugo Lloris mengalami kecederaan lengan yang serius ketika Tottenham tewas 0-3 kepada Brighton & Hove Albion untuk mengharungi tempoh seminggu yang menyedihkan.


Selepas dimalukan 2-7 oleh Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu ini, Spurs memerlukan tindak balas segera untuk mengelakkan khabar angin ketidakharmonian dalaman daripada meletus dan ia gagal direalisasikan di Stadium Amex, sebentar tadi. 

Lloris paling malang apabila ketua pasukan skuad dari London itu terpaksa menanggung kesakitan dan perlu diusung keluar sambil diberi bantuan oksigen selepas gagal mendarat dengan kemas yang mengakibatkan kecederaan di lengan kirinya yang turut memberikan tuan rumah gol pendahuluan pada minit ketiga. 

Penjaga gol itu cuba mematahkan sepakan lintang Pascal Gross, namun terjatuh ke belakang yang memberikan Neal Maupay peluang terhidang untuk disudahkan sebelum terpaksa digantikan dengan Paulo Gazzaniga.

Kedudukan barisan kendalian Mauricio Pochettino itu bertambah parah apabila Connolly, 19, menggandakan jaringan buat Brighton pada minit ke-32 sebelum memastikan penampilan sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan bergaya apabila meledak gol ketiga perlawanan pada minit ke-65 untuk memastikan kemenangan sulung pasukannya ke atas Tottenham sejak 1983.


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen