Covid-19: Arteta semakin baik, Arsenal buka semula pusat latihan

Oleh Nafis Abdullah 20 Mac 2020 71
Covid-19: Arteta semakin baik, Arsenal buka semula pusat latihan
Arsenal mendedahkan bahawa pengurus pasukan, Mikel Arteta, kini dalam keadaan lebih baik selepas didapati positif ujian coronavirus tatkala kelab itu membuka semula pusat latihan.

Minggu lalu, The Gunners terpaksa menutup pusat latihan London Colney dan Hale End untuk proses pembersihan selepas Arteta disahkan menghidapi COVID-19.

Namun, pengendali dari Sepanyol itu kian sembuh dan kini mula berhubung dengan pemain dan staf pasukan sambil ada sebahagian yang masih dalam proses kuarantin.

Semalam, pihak Liga Perdana Inggeris mengumumkan saingan tidak akan diteruskan sekurang-kurangnya sehingga 30 April depan tetapi Arsenal kini sudah memulakan persediaan latihan.

"Anda boleh bayangkan situasi ini berkembang dengan baik, kami telah mengambil langkah tepat untuk memastikan kelab terus beroperasi dalam keadaan melindungi pemain dan staf," kata wakil Arsenal.

"Pusat latihan di London Colney dan Hale End ditutup sebelum ini untuk proses pembersihan selepas Arteta dijangkiti virus tetapi kini dibuka semula berbekalkan kerja-kerja mengekalkan tahap kemudahan serta padang latihan.


"Beberapa staf pasukan termasuk Arteta serta skuad utama kini diasingkan di rumah. Kami teruja untuk mengatakan bahawa Arteta kini semakin baik. Dia dalam semangat yang bagus, mengikuti perancangan jurulatih dan bercakap dengan pemain.

"Kem wanita dan akademi juga kini berada di rumah. Semua pemain kami akan kembali menjalani latihan sebaik sahaja situasi membenarkan.

"Pemain diberikan latihan terperinci termasuk diet untuk diikuti di rumah sambil sentiasa berhubung dengan jurulatih serta staf. Seperti yang anda lihat menerusi laman media sosial, ada sesetengah mereka yang menerima perubahan ini dengan baik."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen