Covid-19: Klopp, Beckham ketuai penghargaan buat NHS

Oleh Nafis Abdullah 27 Mac 2020 166
Covid-19: Klopp, Beckham ketuai penghargaan buat NHS
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dan bekas bintang Manchester United, David Beckham, menyatakan penghargaan terhadap pekerja Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Britain ketika penularan wabak coronavirus.

Lebih 23,900 nyawa telah terkorban di seluruh dunia akibat COVID-19 sambil 528,000 kes disahkan tatkala semua manusia bergelut dengan penularan wabak itu.

Di Britain, terdapat 578 kematian serta hampir 11,700 kes dilaporkan dan negara itu bersatu memberikan penghargaan buat warga NHS sebagai sebahagian daripada usaha "Clap for Carers", semalam.
 
Tatkala saingan Liga Perdana Inggeris ditangguhkan, Klopp -- yang memimpin Liverpool mengungguli carta liga -- menyampaikan pesanan menerusi saluran rasmi kelab itu.

"Saya, staf dan semua pemain Liverpool mahu menggunakan kesempatan ini untuk menyampaikan pesanan terima kasih kepada anda semua yang bekerja untuk perkhidmatan kesihatan," kata pengendali itu.

"Sukar dipercayai apa yang anda lakukan dan daripada pihak Liverpool, saya mahu mengucapkan terima kasih. Dalam Bahasa Jerman, vielen dank."

Bekas pemain sayap United, England, Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan AC Milan, Beckham, juga menggunakan media sosial untuk menyatakan penghargaannya.

"Gembira untuk turut serta bersama seluruh negara bagi mengucapkan terima kasih kepada keberanian pekerja kesihatan serta usaha NHS yang berkhidmat tanpa penat untuk memerangi COVID-19," katanya.
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen