De Gea anggap baki empat aksi EPL ibarat final

Oleh Fadzrie Hazis 10 Julai 2020 331
De Gea anggap baki empat aksi EPL ibarat final
Penjaga gol Manchester United, David De Gea akui pasukannya kini di landasan tepat menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di empat tempat teratas selepas menewaskan Aston Villa 3-0 dalam aksi liga yang berlangsung di Villa Park pada pagi Jumaat.
 
United kini meraih 58 mata selepas 34 perlawanan, hanya satu mata di belakang Leicester di tangga keempat dan dua mata di belakang Chelsea di tangga ketiga.
 
De Gea turut optimis, barisan pemain United komited dalam memastikan pasukan itu layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
 
“Kami berpuas hati dengan aksi kami berdepan Aston Villa, setiap pemain menjalankan tugas, kami bertahan dengan baik dan menyempurnakan peluang gol.
 
“Moral pasukan juga amat baik ketika ini dan kami perlu terus kerja keras untuk mengekalkan prestasi terbaik pasukan.
 
“Kini ada empat lagi perlawanan yang bagi saya, ibarat aksi final dalam kami berusaha untuk memastikan tempat ke UCL musim depan,” kata De Gea ketika temubual pasca perlawanan Villa-United bersama Stadium Astro.



United kini menjadi pasukan pertama dalam sejarah EPL merekodkan empat kemenangan berturut-turut dengan kelebihan tiga gol, sekaligus menguatkan hujah mereka kini di tahap terbaik.
 
Dalam pada itu bekas penjaga gol Villa, Shay Given menyifatkan penyerang muda United, Mason Greenwood sebagai bintang masa depan kelab itu dan juga England.
 
Greenwood menyumbang gol kedua United ketika berdepan Villa dan kini sudah meraih 16 gol dalam semua pertandingan bersama United musim ini.
 
“Jika lihat cara dia bermain, dia tidak mempunyai kelemahan melakukan jaringan gol sama ada dengan kaki kanan atau kiri.
 
“Dia mempunyai kemampuan melakukan rembatan dengan kedua-dua belah kakinya, mampu mengawal bola dengan baik serta tindakan penyudah yang cukup baik,” kata Given.
 

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen