Emery beri bayangan bakal turunkan Pepe di Anfield

Oleh Staff Writer 23 Ogos 2019 1688
Emery beri bayangan bakal turunkan Pepe di Anfield
Unai Emery mencadangkan dia sudah bersedia untuk menurunkan Nicolas Pepe dalam kesebelasan utama Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Liverpool.

Penyerang Ivory Coast itu tiba di Stadium Emirates daripada Lille dengan yuran perpindahan termahal kelab, EUR72 juta (RM334 juta) tetapi hanya menurunkannya sekadar pemain gantian ketika berdepan Newcastle United dan Burnley.

Pengendali The Gunners, Emery, enggan mendesak pemain berusia 24 tahun itu untuk terus menampilkan aksi yang terbaik ekoran kurang persiapan pramusim bersama pasukan.

Tetapi Emery membayangkan peranan yang lebih penting buat Pepe ketika berdepan Liverpool di Anfield, esok.

"Perkara paling penting adalah membantu Pepe dan keluarganya supaya lebih selesa di sini. Dia kini sudah tiga minggu bersama pasukan," kata Emery.

"Dia tidak menjalani persiapan pramusim dan dia mula mendapatkan sentuhannya. Sebagai contoh, dalam perlawanan pertama, dia beraksi selama 15 minit di Newcastle, kemudian 45 minit berdepan Burnley. 

"Saya berasakan persembahannya semakin meningkat dan untuk perlawanan esok, dia akan diberikan lebih banyak masa beraksi.

"Saya akan membuat keputusan tetapi dia telah mula menampilkan peningkatan yang positif.

"Perkara paling penting adalah memastikan Pepe menyesuaikan diri dan selesa bersama pasukan."

Emery, yang juga perlu membuat keputusan mengenai ketersediaan Mesut Ozil (masalah kesihatan) dan Granit Xhaka (kecederaan kaki), telah berjaya membimbing Arsenal memenangi dua kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak sedekad lalu.

Namun, kali terakhir Arsenal berkunjung ke Anfield, mereka ditewaskan 5-1 oleh skuad kendalian Jurgen Klopp itu dan Emery berkata ujian berdepan The Reds adalah peluang untuk menilai kualiti pasukannya.

"Setiap perlawanan adalah cabaran dan kami perlu membuat persiapan rapi dengan sebaik mungkin. Ideanya adalah cuba untuk bermain dengan cara dan gaya kami," tambahnya.

"Kami perlu tampilkan aksi terbaik dan memastikan setiap pemain cergas untuk setiap perlawanan. Saya berasakan kami semakin hampir mencapai sasaran itu tetapi masih memerlukan masa.

"Pemain-pemain berada di tahap terbaik untuk perlawanan esok dan kami akan berusaha menghasilkan sesuatu.

"Anfield merupakan stadium yang besar dan diperkuat dengan penyokong yang menakjubkan.

"Ia adalah perlawanan berbeza jika dibandingkan dengan sebelum ini. Satu ujian bagi menilai tahap kemampuan kami."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen