Emery kecewa Arsenal terus cicir mata

Oleh Staff Writer 3 November 2019 422
Emery kecewa Arsenal terus cicir mata
ARSENAL 1 WOLVES 1

Unai Emery kecewa apabila rekod tanpa kemenangan Arsenal berlarutan kepada tiga perlawanan selepas terikat 1-1 dengan Wolves di Stadium Emirates lewat malam tadi.


Tandukan Raul Jiminez 14 minit sebelum tamat memastikan Wolves mengikat kedudukan dan Arsenal hanya meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan -- menewaskan Vitoria Guimaraes dalam Liga Europa.

Gol ke-50 Pierre-Emerick Aubameyang sepanjang menyarung jersi Arsenal meletakkan skuad The Gunners itu di depan, namun mereka sekali lagi keciciran mata selepas mendahului.

Hujung minggu lalu, Arsenal mendahului Crystal Palace 2-0 dalam 10 minit pertama, hanya untuk skuad kendalian Emery itu mensia-siakan peluang yang diakhiri dengan ejekan penyokong sendiri di Stadium Emirates.

"Benar, kami kecewa," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya fikir pemain telah mencuba dan kami menjaringkan gol pertama tetapi kami memerlukan yang kedua untuk menambah keyakinan.

"Wolves amat tekal untuk beraksi seperti yang dipamerkan mereka hari ini dan mereka melakukannya sekali lagi.

"Ia perlawanan yang setara dan saya fikir kami layak mendapat sesuatu yang lebih baik.

"Saya kecewa kerana kami keciciran mata di laman sendiri seperti musim lalu.

"Saya mahukan sesuatu yang lebih baik dan kami perlu bangkit untuk beraksi dengan lebih bagus," katanya.

Wolves tidak tewas dalam enam perlawanan Liga Perdana tetapi pengurus, Nuno Espirito Santo, berasakan pasukannya perlu lebih berkesan di depan gawang.

"Saya fikir kami memulakan 15 minit pertama dengan amat baik dan sepatutnya menghukum mereka," katanya.

"Kami bermain baik dalam babak kedua dan menguasai perlawanan, dan kami sepatutnya menghukum mereka kerana kami pasukan yang lebih baik.

"Kami perlu lebih tajam tetapi kami tidak kecewa.

"Kami perlu memulihkan diri dan melakukannya sekali lagi," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen