Emery pertahan mutu permainan Xhaka

Oleh Staff Writer 2 September 2019 877
Emery pertahan mutu permainan Xhaka
Unai Emery menegaskan Granit Xhaka bermain baik untuk Arsenal ketika berdepan Tottenham walaupun terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Pemain tengah Switzerland itu melakukan terjahan keras ke atas Son Heung-min, sekali gus memberikan sepakan penalti kepada Spurs yang disempurnakan Harry Kane untuk menggandakan kelebihan ke atas Arsenal selepas mendahului menerusi gol pembukaan Christian Eriksen.

Xhaka dikritik hebat atas tindakannya, namun Arsenal bangkit dengan penuh bergaya apabila Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang memastikan kedua-dua pasukan itu berkongsi mata.

Emery, bagaimanapun, lebih memandang positif di sebalik persembahan yang dipamerkan pemain berusia 26 tahun itu.

"Dalam tempoh 90 minit, saya berbangga dengan persembahannya," kata bekas pengendali Valencia dan Paris Saint-Germain (PSG) itu. 

"Sesetengah kesilapan tidak boleh dielak dan saya mahu mereka menggunakannya untuk pengajaran berguna.

"Penalti yang diberikan kepada Spurs merupakan sesuatu yang mengecewakan. Xhaka telah berusaha dengan baik demi pasukan dan jika kami menang dalam perlawanan ini, kami mungkin kurang berbincang mengenai kesilapan."
Emery berasakan The Gunners berhak sekurang-kurangnya meraih satu mata di atas persembahan yang dipamerkan dalam separuh masa kedua dan berbangga dengan suasana yang diberikan oleh seluruh penyokong tuan rumah.

"Selepas ketinggalan 2-0, kami harus berbangga kerana dapat bangkit dan penyokong banyak membantu pemain-pemain.

"Ia merupakan perlawanan yang menarik tetapi kami gagal menggunakan peluang meraih jaringan kemenangan."

Arsenal kini mendahului Spurs dengan dua mata dalam saingan EPL selepas meraih dua kemenangan, satu tewas dan satu seri selepas empat perlawanan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen