Gomes dijangka jalani pemulihan penuh selepas pembedahan

Oleh Staff Writer 5 November 2019 789
Gomes dijangka jalani pemulihan penuh selepas pembedahan
Andre Gomes dijangka akan menjalani pemulihan penuh selepas pembedahan buku lali kanannya awal pagi tadi, demikian diumumkan pasukannya, Everton.

Pemain kebangsaan Portugal itu mengalami keretakan di buku lalinya yang terkehel ketika pasukannya mengikat Tottenham Hotspur 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam.

Gomes diusung keluar dalam babak kedua di Goodison Park itu selepas dikasari Son Heung-min dan berlanggar dengan Serge Aurier.

Penyerang Spurs, Heung-min, dilayangkan kad merah oleh pengadil, Martin Atkinson, dan dilihat amat terkilan dan bingung sebelum dipujuk untuk ke terowong pemain.

"Everton boleh mengesahkan bahawa Andre Gomes sudah menjalani pembedahan memperbetulkan buku lalinya yang retak dan terkehel dan prosedur itu berjalan dengan amat lancar," kata kelab itu menerusi satu kenyataan dalam laman web rasmi pasukan.

"Pemain kebangsaan Portugal itu, yang mengalami kecederaan dalam perlawanan Liga Perdana dengan Tottenham semalam, akan mengambil masa untuk menjalani pemulihan di hospital sebelum kembali ke USM Finch Farm (pusat latihan Everton) untuk memulakan proses rehabilitasi di bawah penyeliaan pasukan perubatan kelab ini.

"Pemain berusia 26 tahun itu dijangka akan pulih sepenuhnya.

"Bagi pihak Andre, kelab ini mahu berterima kasih kepada semua penyokong Everton dan kesemua ahli keluarga bola sepak di seluruh dunia di atas mesej-mesej yang menyokong kami sejak perlawanan semalam," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen