Hari yang buruk -- Guardiola kecewa tewas di tangan Wolverhampton

Oleh Staff Writer 7 Oktober 2019
Hari yang buruk -- Guardiola kecewa tewas di tangan Wolverhampton
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata pasukannya jauh daripada aksi terbaik tatkala mereka tewas 2-0 di tangan Wolverhampton Wanderers di laman sendiri, semalam.

Dua jaringan Adama Traore dalam tempoh 10 minit bermakna juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu kekal lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool, selepas The Reds meraih jaringan kemenangan pada minit akhir ketika menang 2-1 ke atas Leicester City, kelmarin.

Wolves melepaskan peluang pada awal perlawanan untuk membuka tirai jaringan sebelum Traore menghasilkan dua gol dan Guardiola -- yang tewas dua kali dalam lapan perlawanan liga musim ini -- menyifatkannya sebagai hari yang buruk.

"Kami bermula baik tetapi dibolosi hasil serangan balas," katanya.

"Kami tidak berada pada prestasi terbaik. Kami berpeluang menjaringkan gol tetapi ia hari yang buruk dan kami tewas.

"Kami tidak melakukan keputusan tepat dan berdepan masalah dengannya. Kami adalah pasukan yang beraksi dengan satu cara tetapi ia hari yang buruk. Kadangkala ia berlaku. Kini, kami berdepan tempoh rehat antarabangsa, kemudian kembali untuk aksi lain."

Kyle Walker dibawa keluar pada waktu rehat sambil Guardiola mendedahkan pertahanan itu bergelut selepas mengalami jangkitan minggu ini.

"Walker tidak berasa bagus," katanya.

"Dia tidak berlatih dengan baik selepas jangkitan dan kami terpaksa menggantikannya."

City bakal menyambung saingan liga selepas tempoh rehat antarabangsa apabila bertandang ke Crystal Palace pada 19 Oktober ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen