Isu penggantungan: CAS sah terima rayuan City

Oleh Staff Writer 27 Februari 2020 1167
Isu penggantungan: CAS sah terima rayuan City
Manchester City secara rasminya telah mengemukakan rayuan berkenaan penggantungan dua musim dalam sebarang pertandingan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), demikian disahkan Mahakamah Timbang Tara  Sukan (CAS).

City didenda sebanyak £25 juta (RM136.2 juta) oleh badan induk bola sepak Eropah itu pada 14 Ferbuari lalu dan turut digantung selama dua musim daripada menyertai Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.

Ia gara-gara dakwaan pelanggaran serius terhadap undang-undang Financial Fair Play (FFP) di antara tahun 2012 hingga 2016.

Juara Liga Perdana Inggeris itu menyatakan kesediaan mereka untuk mengemukakan rayuan dan CAS mengesahkan telah menerima rayuan itu malam tadi.

Dalam satu kenyataan, CAS berkata: "Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah mendaftarkan rayuan yang difailkan oleh Kelab Bolasepak Manchester City untuk mencabar keputusan yang dikeluarkan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

"Rayuan itu ditujukan kepada keputusan Dewan Adjudicatory daripada Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB) yang bertarikh 14 Februari 2020, di mana Manchester City dianggap telah melanggar Pelesenan Kelab UEFA dan undang-undang Financial Fair Play (FFP) dan dihukum dengan penggantungan daripada sebarang kejohanan UEFA selama dua musim di mana kelab tu akan layak menyertainya dan diarahkan untuk membayar denda sebanyak EUR30 juta (RM138.1 juta)."

Kesan daripada keputusan yang ditangguhkan itu mungkin akan turut menjejaskan kelab-kelab lain dalam Liga Perdana Inggeris yang sedang merebut tempat ke Liga Juara-Juara dan Liga Europa musim 2020-21.

CAS, bagaimanapun, tidak dapat memberikan jangka masa yang tepat untuk keputusan itu dikeluarkan.

Kenyataan itu menambah: "Pada umumnya, prosedur penimbangtaraan CAS merangkumi pertukaran penyerahan bertulis di antara kedua-dua pihak semasa Panel CAS sedang menjalankan penimbangtaraan.

"Sebaik panel ditubuhkan secara rasmi, arahan prosedur akan dikeluarkan, termasuk, antara lain, dengan sesi perhubungan dan pendengaran.

"Selepas sesi pendengaran, panel akan mengadakan perbincangan dan mengeluarkan keputusan dalam bentuk  Arbitral Award."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen