Isu VAR: Mourinho berang dengan 'anda tahu siapa'

Oleh Muzaffar Musa 10 Julai 2020 491
Isu VAR: Mourinho berang dengan 'anda tahu siapa'
Jose Mourinho enggan berbincang mengenai "anda tahu siapa" selepas satu lagi keputusan video bantuan pengadil (VAR) tidak memihak pasukannya, Tottenham Hotspur, ketika terikat tanpa jaringan dengan Bournemouth dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di  Stadium Vitality awal pagi tadi.

Spurs keciciran mata dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mencabar tempat ke saingan peringkat Eropah musim depan, di mana mereka diikat oleh The Cherries, yang sedang bergelut di zon penyingkiran, tanpa mencipta sebarang percubaan tepat ke gawang lawan.

Bagaimanapun, Mourinho berasakan Tottenham sepatutnya memperoleh sepakan penalty pada awal perlawanan selepas Harry Kane dijatuhkan oleh Josh King.

Tiada sepakan penalti diberikan dan Spurs menamatkan perlawanan itu dengan hanya satu mata dan perlu berterima kasih kepada VAR pada penghujung permainan selepas sistem itu mengesan bola terkena tangan King sebelum Callum Wilson menjaringkan gol.

Mourinho menyedari Tottenham beraksi di bawah tahap sebenar tetapi selepas berang dengan keputusan sistem itu dalam perlawnanan menentang Manchester United dan Sheffield United sebelum ini, pengurus itu sekali lagi menyalahkan pegawai perlawanan.

"Perlawanan itu mempunyai satu momen yang amat penting, anda tahu bila dan anda tahu siapa," katanya kepada Sky Sports.

"Saya tidak mahu bercakap lebih mengenai perkara itu kerana semua orang tahu dan saya tidak perlu menambah lagi mengenai perkara itu. Semua orang tahu," ulanginya.

Dan ia tidak menutup niat Mourinho bahawa Michael Oliver, yang menafikan jaringan pasukannya ketika menentang Sheffield United, adalah VAR yang dimaksudkan.

"Pengadil yang sama membuat keputusan VAR ketika kami menentang Sheffield United, Michael Oliver. Pandangan yang penting.
 
"Bukan hanya pandangan saya, semua sedar bahawa ia adalah sepakan penalti dan apabila saya kata semua orang, maksud saya adalah semua orang. Semua orang."

Mourinho menambah: "Prestasi kami tidak cukup bagus tetapi cukup bagus untuk menang.

"Saya tidak katakan ia adalah prestasi yang baik, saya tidak katakan ia prestasi yang tepat tetapi saya katakan ia cukup bagus untuk menang.

"Di samping itu, mereka mengejutkan kami dengan cara permainan mereka.

"Sejak Bournemouth bermain dalam EPL, saya tidak ingat mereka pernah bermain seperti itu.

"Tetapi ia pilihan mereka kerana mereka memperoleh satu mata yang diinginkan.

"Mereka bermain secara terus, hanya secara terus, mereka tidak menggerakkan bola daripada fasa awal seperti yang mereka biasa lakukan dan ia menyukarkan kami.

 "Tetapi saya fikir kami tidak cukup bagus. Kami dominan di bahagian belakang -- permainan yang mudah di belakang -- tetapi kemudian kekurangan ketajaman di bahagian serangan.

"Saya melakukan perubahan, saya fikir perubahan itu membantu memperbaiki permainanan kami pada penghujung perlawanan, namun kami tidak menjaringkan gol dan anda tidak boleh menang apabila tidak menjaringkan gol," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen