Jaringan Vestergaard padam hasrat United

Oleh Staff Writer 31 Ogos 2019 941
Jaringan Vestergaard padam hasrat United
SOUTHAMPTON 1 MANCHESTER UNITED 1

Manchester United kini melalui tiga perlawanan tanpa kemenangan selepas jaringan Jannik Vestergaard membolehkan Southampton yang beraksi dengan 10 pemain meraih keputusan seri 1-1 di laman sendiri, sebentar tadi.


Pertahanan Denmark, Vestergaard, menamatkan penantian pasukannya memburu gol penyamaan pada minit ke-58 menerusi tandukan dan memadamkan jaringan pembukaan Daniel James.

Situasi itu bermakna United meraih pendahuluan dalam tiga daripada empat perlawanan tetapi gagal menambah jaringan tatkala Kevin Danso dilayangkan kad merah pada minit ke-73.

Keputusan seri di tempat lawan itu juga menyaksikan pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu gagal mengubati kekecewaan tewas 2-1 di tangan Crystal Palace minggu lalu dan kini menuju tempoh rehat antarabangsa dengan suram.

Pemain Wales, James, memerlukan 10 minit dalam aksi keempat bersama United untuk menyamai catatan tiga gol yang diraih Alexis Sanchez buat The Red Devils di pentas Liga Perdana Inggeris.

Sanchez -- yang dipinjamkan ke Inter Milan, Khamis lalu -- pastinya cemburu melihat James meraih jaringan selepas mengawal bola dari kiri sebelum meledakkan rembatan menewaskan Angus Gunn.

Penjaga gol The Saints, Gunn, kemudian menyelamatkan percubaan pemain berusia 21 tahun itu yang diikuti dengan tendangan voli liar Aaron Wan-Bissaka serta percubaan jarak dekat Marcus Rashford sebelum rehat.

Bagaimanapun, Southampton menggandakan tekanan dan meraih jaringan yang dinantikan selepas Vestergaard mengatasi Victor Lindelof untuk menanduk masuk bola hantaran Danso.

Kelebihan tampak berpihak kepada United dalam 18 minit terakhir selepas pertahanan lawan, Danso, menerima kad kuning kedua susulan terjahan ke atas Scott McTominay.

Gunn bertindak cemerlang menafikan percubaan Rashford menggunakan kakinya tatkala pelawat kian terdesak mencari jaringan kemenangan tetapi meskipun berdebar sewaktu Mason Greenwood dijatuhkan dalam kotak penalti, pasukan bimbingan Ralph Hasenhuttl itu tetap lega dengan satu mata.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen