Jika seseorang lebih bagus, anda harus terima -- Gundogan

Oleh Nafis Abdullah 2 Julai 2020 743
Jika seseorang lebih bagus, anda harus terima -- Gundogan
Ilkay Gundogan tidak berdepan sebarang masalah untuk memberikan juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, penghormatan tatkala dia menegaskan Manchester City perlu mengakui bahawa The Reds merupakan pasukan lebih hebat.

Seminggu selepas kekalahan 2-1 City di tangan Chelsea yang mengesahkan Liverpool selaku juara, skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan bertandang ke Etihad untuk menentang lawan yang diatasi 23 mata dalam carta liga.

Memandangkan ia aksi pertama sejak Liverpool mengesahkan kejuaraan, The Reds akan diberikan penghormatan oleh lawan seterusnya tatkala Pep Guardiola menegaskan pasukannya sedia meneruskan tradisi itu.

Gundogan -- yang merupakan sebahagian daripada skuad yang menjuarai liga selama dua tahun berturut-turut -- tidak berdepan masalah untuk memberikan tepukan dan penghormatan buat seteru susulan dominasi yang ditampilkan sepanjang musim ini.

"Saya tidak pasti jika saya pernah melakukannya sebelum ini," kata bintang Jerman itu.

"Ia menjadi satu tradisi di England, jadi jelas sekali kami perlu mengikutinya. Mereka berhak kerana mereka adalah juara.

"Saya boleh bayangkan orang ramai seperti media dan peminat akan memperbesarkannya. Ramai orang kami adalah musuh tetapi kami hanyalah seteru. Seteru yang bermain untuk menang.

"Itu yang mereka dan kami lakukan. Jika seseorang lebih bagus berbanding anda, tidak kira dalam satu perlawanan atau pertandingan, anda harus menerimanya dan mengucapkan tahniah.

"Selepas ini, apabila anda memiliki peluang, anda harus menggunakannya dengan lebih baik. Itu pandangan saya."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen