Kane: Sterling di landasan muncul Pemain Terbaik PFA

Oleh Staff Writer 20 Mac 2019 1060
Kane: Sterling di landasan muncul Pemain Terbaik PFA
Harry Kane berpandangan Raheem Sterling layak untuk menjadi Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) bagi musim ini.

Sterling menikmati musim yang cemerlang bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dengan menjaringkan 19 gol dalam semua kejohanan di samping menyumbat sepakan penalti ketika membantu skuad bimbingan Pep Guardiola itu mempertahankan kejuaraan Piala EFL ke atas Chelsea di Wembley.

Kane dan Sterling akan bergandingan dalam skuad England bagi aksi pembukaan kelayakan Euro 2020 berdepan Republik Czech dan Montenegro sebelum kedua-dua pemain itu bersaing dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di antara Tottenham dan City.

"Sterling menikmati musim yang cemerlang sekali lagi," kata Kane. "Mereka telah menang satu kejohanan dan masih lagi mengejar tiga gelaran musim ini. Sterling merupakan antara pemain yang memainkan peranan penting untuk pasukan.

"Dia seorang pemain yang berkualiti, saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya untuk saingan antarabangsa.

"Dia kini di landasan untuk dinobat sebagai pemain terbaik musim ini."

Tottenham memiliki peranan dalam persaingan tiga pasukan mengejar kejuaraan liga musim ini tetapi aksi kurang cemerlang sejak beberapa minggu ini menyaksikan mereka kehilangan mata, sekali gus menjadikan layak ke UCL sebagai sasaran baru mereka.

Bagaimanapun, Spurs bakal berpindah ke stadium baru sejurus tamat aksi perlawanan antarabangsa, dengan Kane teruja untuk beraksi di padang baru.

"Ia akan menjadi saingan yang sengit. Enam pasukan teratas EPL sangat berkualiti. Kami mendahului Arsenal dengan tiga mata. Segalanya bergantung kepada kami."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen