Kecederaan Laporte tidak kelihatan baik, kata Guardiola

Oleh Staff Writer 1 September 2019 617
Kecederaan Laporte tidak kelihatan baik, kata Guardiola
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menjangkakan Aymeric Laporte akan berehat panjang sambil menjelaskan kecederaan pemain pertahanan itu "tidak kelihatan baik".

Laporte diusung keluar padang selepas mengalami kecederaan lutut pada minit ke-34 ketika City menewaskan Brighton and Hove Albion 4-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di laman sendiri, malam tadi.

Pertahanan itu, yang menerima panggilan skuad kebangsaan Perancis minggu lalu, tercedera ketika bertembung dengan Adam Webster di mana dia turut dilayangkan kad kuning.

Selepas perlawanan, Guardiola masih menantikan laporan perubatan daripada doktor, namun berasakan Laporte, 25, sudah dikejarkan ke hospital dan akan berehat untuk satu tempoh yang panjang.

"Saya fikir dia sudah ke hospital," kata pengendali itu mengenai Laporte yang digantikan dengan Fernandinho.

"Ia tidak kelihatan baik.

"Saya masih belum tahu mengenai kecederaannya tetapi kami akan mengetahuinya nanti.

"Mereka sedang melakukan diagnosis dan saya sedang menantikan panggilan daripada doktor.

"Dia mungkin berehat panjang," katanya.

Kecederaan Laporte menyaksikan hanya Nicolas Otamendi merupakan pertahanan tengah senior yang masih cergas dalam pasukan itu dengan John Stones masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pinggul menjelang perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen