Keputusan merosot, bukan prestasi, kata Solskjaer

Oleh Staff Writer 1 September 2019 2460
Keputusan merosot, bukan prestasi, kata Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer menegaskan Manchester United masih di landasan tepat untuk meningkatkan prestasi biarpun melewati perlawanan liga yang ketiga tanpa kemenangan.

Pasukan itu terikat 1-1 dengan Southampton di St. Mary malam tadi dengan tandukan Jannik Vestergaard dalam babak kedua memadamkan gol awal Daniel James pada minit ke-10.

Ia bermakna skuad kendalian Solskjaer itu mensia-siakan gol pendahuluan dalam dua perlawanan di laman lawan dan gagal bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada Crystal Palace, minggu lalu.

Namun, walaupun ia jauh berbeza dengan kemenangan 4-0 ke atas Chelsea dalam perlawanan pembukaan, Solskjaer berasakan mutu permainan pasukannya semakin baik secara keseluruhan.

"Apa yang peliknya, tiga perlawanan yang kami tidak menang ini lebih baik daripada ketika kami menentang Chelsea," katanya kepada BT Sport.

"Chelsea memberi tekanan dan kami melakukan serangan balas.

"Dalam tiga perlawanan lain, kami mendominasi, mencipta peluang, namun tidak cukup kemas untuk memenangi perlawanan.

"Kami mensia-siakan sepakan penalti, mensia-siakan beberapa peluang.

"Ia bukan kemerosotan pretasi, ia hanya kemerosotan keputusan," katanya.

Prestasi yang ditunjukkan James jelas memberikan sinar baru buat United sepanjang pembukaan kempen kali ini.

Pemain Wales berusia 21 tahun itu telah menjaringkan tiga gol daripada empat perlawanan pertama sejak menyertai United daripada Swansea City.

"Kami tahu kualiti yang dimilikinya dan beraksi di bahagian kiri, dia amat berbisa.

"Dia menjaringkan gol yang baik hari ini dan dia melakukan larian yang membuka ruang buat pemain di sekelilingnya.

"Kemasukannya benar-benar memberikan impak kepada kami," tambahnya.

Southampton mengatasi tekanan selepas ketinggalan untuk bangkit dalam babak kedua dan Vestergaard berasakan pasukannya layak berkongsi mata dengan United.

"Ia penantian yang panjang tetapi saya gembira dapat menjaringkan gol dan membantu pasukan," katanya kepada BT Sport.

"Saya fikir kami layak untuk memperoleh sesuatu dalam perlawanan ini.

"Amat baik apabila anda mendapat ganjaran daripada usaha keras.

"Mereka pasukan berkualiti, namun kami sedar mereka juga memiliki kualiti di setiap posisi.

"Kami harus bertahan sebagai satu pasukan dan satu unit.

"Mereka menjaringkan gol yang cantik tetapi kami mengawalnya dan memberikan tentangan yang hebat.

"Kami layak mendapat mata," kata Vestergaard lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen