Klopp tolak dibandingkan dengan Shankly

Oleh Nafis Abdullah 8 Mac 2020 291
Klopp tolak dibandingkan dengan Shankly
Jurgen Klopp mengakui dia tidak akan membandingkan dirinya dengan legenda Liverpool, Bill Shankly, walaupun mengemudi The Reds mencatat kemenangan ke-22 berturut-turut di laman sendiri dalam Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan 2-1 ke atas Bournemouth semalam menyaksikan Liverpool muncul pasukan pertama mencatatkan rekod itu di laman sendiri.

Shankly -- yang meraih tiga kejuaraan selaku pengurus -- sebelum ini memegang rekod 21 kemenangan berturut-turut.

Namun, Klopp menolak untuk diletakkan sebaris Shankly walaupun dia memuji semangat pasukan yang semakin hampir menamatkan penantian kejuaraan liga sejak 1990.

Ditanya jika dia sedar tentang rekod itu, Klopp memberitahu BT Sport: "Ya, saya tidak akan membandingkan dengannya.

"Hebat, ia 22 hari ini. Saya tidak fikirkan tentang nombor sebelum perlawanan tetapi selepas itu, kami fikir tentangnya selama beberapa minit. Ia bagus. Sesuatu yang istimewa dan tidak normal.

"Perlawanan hari ini adalah contoh terbaik. Kami berjuang. Kami bukan genius tetapi berjuang sehingga akhir musim. Kemudian, lihat apa yang akan diraih."

Liverpool kini hanya memerlukan tiga kemenangan lagi sebelum mengesahkan kejuaraan tetapi fokus Klopp pantas terarah kepada aksi menentang Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah, di mana anak buahnya ketinggalan 1-0 sebelum saingan di Anfield.

"Tiga kemenangan lagi? Tidak, kami fikirkan Atletico," tambah Klopp.

"Ia sesuatu yang sukar dan kami sedar tentangnya. Sudah tentu mereka tidak akan datang ke sini dan beraksi dalam perlawanan persahabatan. Ia akan jadi sebaliknya.

"Kemenangan hari ini 100 peratus membantu. Mungkin akan ada dua atau tiga pemain yang kembali. Liga nanti, kemudian dengan kesebelasan utama yang baik di Anfield, kami akan cuba mengubahnya."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen