Klopp yakin Salah atasi masalah kecederaan 'menjengkelkan'

Oleh Staff Writer 2 November 2019 936
Klopp yakin Salah atasi masalah kecederaan 'menjengkelkan'
Jurgen Klopp berkata kecederaan buku lali berterusan Mohamed Salah merupakan sesuatu yang 'menjengkelkan' tetapi percaya penyerang utama itu akan cergas untuk diturunkan ketika Liverpool menentang Aston Villa di Villa Park dalam Liga Perdana Inggeris malam ini.

Salah dikasari pemain Leicester City, Hamza Choudhury, bulan lalu dan kecederaan itu kelihatan terus mengganggu perstasinya.

Pemain kebangsaan Mesir itu terpaksa meletakkan ais di buku lalinya dan terhincut-hincut menuju ke terowong pemain selepas menewaskan Tottenham Hotspur minggu lalu.

Salah juga dilihat menjalani latihan secara bersendirian bagi memulihkan kecederaan itu sepanjang minggu lalu.

Terdapat kemungkinan untuk Salah direhatkan dalam pertemuan di Villa Park itu memandangkan Liverpool akan berdepan pencabar utama, Manchester City, minggu depan, namun Klopp yakin ayam tambatan mereka itu akan dapat diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

"Dia akan baik-baik sahaja. Dia melakukan pemulihan secara bersendirian tetapi dia akan kembali berlatih," katanya kepada wartawan.

"Saya fikir kecederaan itu agak menjengkelkan, bukan untuk saya tetapi untuk dia.

"Hakikatnya, kecederaan itu sentiasa reda dan datang kembali dan dia perlu membiasakan diri.

"Kami mengatasinya dan ia (kecederaan itu) akan datang kembali, ia seperti itu.

"Namun, ia bukanlah kecederaan sebenar seperti yang disangkakan, saya sudah mendengarnya (daripada pasukan perubatan), jadi dia akan baik-baik sahaja," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen