Kovacic lengkapkan perpindahan tetap ke Chelsea

Oleh Staff Writer 2 Julai 2019 1925
Kovacic lengkapkan perpindahan tetap ke Chelsea
Mateo Kovacic telah melengkapkan perpindahan secara tetap ke Chelsea selepas tempoh membanggakan sewaktu dipinjamkan daripada Real Madrid musim lalu.

Skuad The Blues kini digantung daripada mendapatkan mana-mana pemain untuk dua jendela perpindahan kerana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati mereka melanggar peraturan melibatkan perpindahan dan pendaftaran pemain bawah 18 tahun.

Namun, memandangkan Kovacic telah didaftarkan kelab selepas dipinjamkan ke Stamford Bridge musim lalu, Chelsea dibenarkan untuk mendapatkan pemain tengah Croatia itu menerusi perjanjian lima tahun dan yuran yang dilaporkan sekitar GBP40 juta (RM208 juta).

"Saya benar-benar menikmati tempoh pinjaman bersama Chelsea dan berasa selesa di kelab ini. Saya juga sukakan London dan Liga Perdana Inggeris. Saya gembira untuk menyertai pasukan secara tetap," katanya.

"Kami melalui tahun yang hebat, menjulang trofi Liga Europa dan saya harap dapat memberikan sumbangan besar dalam musim seterusnya."

Pemain berusia 25 tahun itu membantu The Blues meraih trofi Liga Europa dan melangkah ke final Piala EFL menerusi 32 penampilan sewaktu di bawah bimbingan Maurizio Sarri.

Sarri kemudian berhijrah menyertai Juventus dan dijangka akan digantikan oleh legenda pasukan, Frank Lampard, selepas Derby County memberi kelonggaran terhadapnya mengenai kempen pra-musim untuk meneruskan perbincangan dengan The Blues.

Kovacic, yang menghabiskan tempoh tiga tahun di Madrid selepas meninggalkan Inter Milan, menyertai Christian Pulisic selaku pemain baru menjelang kempen 2019-20.

Mereka mungkin tidak akan menjadi pengakhiran buat Chelsea untuk terus mendapatkan pemain tatkala The Blues sudah membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Kehadiran Kovacic dilengkapkan selepas Chelsea mengesahkan Gonzalo Higuain meninggalkan Stamford Bridge dan penyerang itu akan kembali ke Juventus selepas The Blues memilih untuk tidak mengejar perpindahan tetap atau mengambil pilihan melanjutakan tempoh pinjaman 12 bulan akan datang.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen